KEBANYAKAN kita hanya memandang serius soal kesihatan apabila tubuh mula memberi amaran.
Malangnya, isyarat itu sering dipandang ringan mahupun diabaikan sehingga penyakit dikesan di tahap lewat.
Namun, keadaan ini boleh diatasi melalui pendekatan baharu yang proaktif dan memfokuskan kepada pencegahan iaitu EquanCity.
EquanCity merupakan ekosistem kesihatan berasaskan pencegahan pertama di Malaysia yang mula diperkenalkan sejak dua tahun lalu.
Pengasas bersama dan penasihatnya, James Law berkata, inisiatif itu membantu rakyat menjaga kesihatan secara menyeluruh dan kekal sihat sehingga ke akhir usia.

Ia menggabungkan penjagaan kesihatan pencegahan, perkhidmatan kesejahteraan, teknologi kesihatan digital dan penglibatan komuniti dalam satu sistem yang diselaraskan.
“Misi kami adalah untuk mendidik masyarakat supaya faham bila dan bagaimana menjaga kesihatan dari awal.
“Dengan cara ini, mereka bukan sahaja dapat mencegah penyakit, malah merancang masa depan dengan lebih sihat dan produktf,” katanya ketika ditemui pada majlis prapelancaran baru-baru ini.
Justeru, kata James, wujud keperluan penting untuk mendefinisikan semula penjagaan kesihatan di Malaysia.
Apatah lagi, negara kini berdepan kos rawatan kesihatan yang makin meningkat dan pengesanan penyakit lewat.
Katanya, model EquanCity mampu membantu mengurangkan beban jangka panjang sistem kesihatan sekali gus meningkatkan kualiti hidup rakyat.
“Tumpuan kita adalah kepada saringan awal, mengoptimumkan gaya hidup dan perancangan kesihatan jangka panjang.
“Menerusi pencegahan awal juga, kita dapat mengurangkan kos rawatan jangka panjang dan tekanan ke atas hospital awam,” katanya.
Kredit kesejahteraan
Konsep kredit kesejahteraan yang diperkenalkan dalam EquanCity menggalakkan perbelanjaan kesihatan pencegahan.
Dalam masa sama, ia memberi ganjaran kepada amalan gaya hidup sihat.
Manfaat ini boleh direbut individu, pasangan, keluarga mahupun warga emas pada harga keahlian serendah antara RM3,800 hingga RM9,900 dalam tempoh masa ditetapkan.
Menerusi keahlian ini, seseorang berpeluang menjalani imbasan badan termasuk analisis darah secara langsung dan saringan kesihatan sebanyak 10 hingga 15 kali.
Di samping turut berpeluang mendapat pulangan wang tunai serta ganjaran tahunan dan agihan keuntungan.
Kesedaran masyarakat masih rendah
Pengarah kesihatan di Pusat Rawatan Advanced Integrative Wellness (AIW), Dr. Sasikala Armugam tidak menafikan kesedaran masyarakat terhadap penjagaan kesihatan pencegahan masih lagi rendah.

Justeru, tidak hairanlah apabila semakin ramai menderita penyakit kronik di usia muda berbanding situasi 30 tahun lalu.
“Rata-ratanya menunggu sehingga sudah sakit barulah mahu melakukan pemeriksaan dan ujian darah.
“Sedangkan jika kita bertindak awal dengan mencegahnya dahulu, risiko penyakit dapat dikurangkan sekali gus meningkatkan kualiti hidup,” katanya.
Katanya, kesejahteraan jangka panjang boleh dicapai melalui perubahan gaya hidup, termasuk amalan pemakanan sihat, tidur awal dan mencukupi, pengurusan stres berkesan serta pengambilan nutrien seimbang.
Selain itu, teknik grounding juga membantu mengembalikan keseimbangan tubuh secara semula jadi.
“Contohnya bagi individu yang mahu menguruskan badan, dia bukan sahaja perlu berdiet, malah tidur awal dan bersenam.
“Tidur lewat boleh menyebabkan hormon kortisol atau stres meningkat sekali gus menghalang berat turun.
“Perkara ini saling berkait tetapi mungkin kurang disedari ramai,” katanya.
Manfaat amalan pencegahan ini lazimnya dapat dilihat selepas sekurang-kurangnya enam bulan, bergantung kepada komitmen dan konsistensi individu.










