Kaedah modular mampu tarik pelajar pascasiswazah tempatan, luar negara - Utusan Malaysia

Kaedah modular mampu tarik pelajar pascasiswazah tempatan, luar negara

MOHAMMAD SHATAR SABRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan digesa membangunkan struktur program pascasiswazah berdasarkan sistem blok bagi membolehkan penawaran program secara modular.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, sistem blok ini adalah tambahan kepada sistem semester sedia ada, untuk menyokong IPT yang menawarkan program pada peringkat sarjana Tahap 7 Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF) dengan struktur modular.

Katanya, penawaran sedemikian lebih menarik, berdaya saing dan dapat membantu pelajar mengikuti pengajaran dan pembelajaran dengan lebih fokus serta berkesan.

“Ini ialah satu daripada inisiatif MQA bagi membantu IPT untuk meningkatkan pengambilan pelajar terutama penuntut antarabangsa, IPT diberi fleksibiliti untuk menawarkan program Sarjana Tahap 7 MQF dan Kedoktoran Tahap 8 MQF secara kerja kursus atau mod campuran dengan struktur modular.

“Selain itu, pengambilan pelajar perlu berdasarkan bilangan blok dalam satu tahun pengajian tertakluk kepada beberapa syarat tertentu,” katanya, hari ini. 

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai ketetapan baharu bilangan sesi pengambilan pelajar bagi program pascasiswazah dengan struktur modular yang dimaklumkan menerusi surat 30 September lalu kepada IPT tempatan.

Sebelum ini bilangan maksimum semester bagi satu tahun pengajian adalah tiga semester dan sesi pengambilan pelajar adalah berdasarkan kepada bilangan semester yang ditawarkan dalam satu tahun pengajian.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, pengambilan boleh dibuat dengan syarat maksimum lima blok dalam satu tahun pengajian dengan tempoh maksimum 43 minggu.

“Syarat lain ialah maksimum 50 kredit beban pembelajaran dalam satu tahun pengajian dan pengambilan perlu dirancang dengan teratur serta dibuat sebelum sesi pengajian bagi blok tertentu dimulakan.

“IPT yang berhasrat untuk menukar pelaksanaan semasa kepada struktur modular perlu mengemukakan pemakluman bertulis kepada MQA disertakan maklumat struktur modular berkaitan bagi tujuan rekod serta rujukan MQA semasa penilaian akreditasi penuh dan audit pematuhan,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya