Jumlah usahawan meningkat, Kerajaan Selangor tawar permit sementara - Utusan Malaysia

Jumlah usahawan meningkat, Kerajaan Selangor tawar permit sementara

AMIRUDIN Shari (tengah) bergambar dengan seorang penerima lesen penjaja (empat dari kiri) di Auditorium MBSA di Shah Alam, Selangor selepas merasmikan Kerjasama Pintar antara MBSA dengan agensi berkenaan sempena sempena ulang tahunnya ke-21 hari ini. - UTUSAN / ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lalu, usahawan di negeri ini khususnya di Shah Alam menunjukkan peningkatan signifikan yang disumbang pelbagai faktor termasuk kehilangan pekerjaan dan pengurangan pendapatan.

Justeru, pada tahun lalu kira-kira 3,000 permit perniagaan sementara dikeluarkan kepada penduduk di negeri ini yang melakukan pelbagai bentuk perniagaan termasuk menjadi penjaja.

Malah, pada tahun ini sahaja, Majlis Bandaraya Shah Alam, (MBSA) dilaporkan memberi hampir 7,000 lesen perniagaan sementara kepada pemohon yang berniaga dan menjadi usahawan menerusi kerjasama pelbagai agensi kerajaan negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, di bawah Exco Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam, Ng Sze Han, lebih 10,000  lesen perniagaan di seluruh Selangor dilapor sudah diberikan pada tahun ini.

“Kita menyedari ketika dan selepas pandemik Covid-19, ada banyak penjaja baharu yang tumbuh, tetapi Shah Alam sudah mengorak kehadapan bukan hanya memberikan lesen tetapi bimbingan dan juga menggabungkan agensi-agensi tertentu.

“Sebagai contoh kita ada Seldac yang akan menghubungkan mereka dengan Plat Selangor (Plats), Yayasan Hijrah Selangor, Perbadanan Kemajuan dan Pertanian Selangor, Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KOHIJRAH) dan Selangor Industrial Corporation Sdn Bhd,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kerjasama Pintar antara MBSA dengan agensi berkenaan sempena sempena ulang tahunnya ke-21 bagi mendekat para usahawan, peniaga dan penjaja.

Tambahnya, pemberian lesen adalah untuk tempoh setahun dan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan menilai perkembangan perniagaan mereka sebelum diberikan lesen perniagaan biasa atau pembaharuan.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua itu memaklumkan pemberian lesen adalah sebagai satu mekanisme atau inisiatf PBT dan kerajaan negeri untuk menggalakkan peniaga mempunyai lesen perniagaan.

“Ketika PKP, banyak penutupan industri dan juga pekerjaan kita dapati begitu ramai peniaga muncul macam cendawan. Sebab itu PBT tidak menghukum dengan sewenang-wenangnya, memang ada kita ambil tindakan sebab untuk jaga kualiti bandar raya.

“Kerajaan negeri juga akan menyediakan ruang perniagaan yang kondusif kepada para peniaga seperti di Pasar Moden Sri Muda Seksyen 25, Laman Niaga Seksyen U10, Pasar Moden Seksyen 6 dan beberapa gerai di Seksyen U6 dan U20,” ujarnya. – UTUSAN  ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya