Jual aset Petronas di Azerbaijan berdasarkan nilai komersial - Utusan Malaysia

Jual aset Petronas di Azerbaijan berdasarkan nilai komersial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan penjualan aset gas Petronas di Azerbaijan adalah berdasarkan penilaian komersial jangka masa panjang serta pemampatan kos untuk menjamin daya tahan dan kecemerlangan operasi serta komersial.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, langkah itu sebahagian daripada usaha penilaian semula aset dan portfolio perniagaan Petronas yang dilaksanakan secara berterusan.

“Langkah-langkah ini perlu diambil bagi mengekalkan kedudukan kewangan yang kukuh. Dalam hal ini, bukan sahaja aset di Azerbaijan yang terlibat, malah aset-aset lain yang telah memenuhi potensinya turut diberi pertimbangan sama ada untuk dijual atau untuk dikurangan pemilikan aset.

“Keputusan yang diambil oleh Petronas juga adalah bertepatan dengan strategi kumpulan untuk memastikan portfolio huluan yang berfokus, berdaya saing dan mampan,” katanya pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab usul Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) mengenai laporan Petronas telah menjual aset gas di Azerbaijan hampir RM10 bilion berikutan desakan kerajaan menaikkan bayaran dividen Petronas sebanyak RM25 bilion kepada kerajaan pada 2021.

Mustapa kemudian menegaskan keputusan penjualan itu juga bukanlah atas desakan politik dan aset di Azerbaijan telah dikenal pasti sebagai antara aset untuk dijual sejak 2019.

Beliau berkata, proses jualan adalah mengambil masa untuk memastikan harga penjualan aset dapat memberikan nilai yang wajar dan berpatutan dan hanya dapat dilaksanakan pada 2021.

Katanya, penjualan aset itu juga selari dengan strategi tiga serampang Petronas iaitu memaksimumkan penjanaan aliran tunai, mengembangkan perniagaan teras dan menceburi sektor perniagaan baharu.

Mengenai pembayaran dividen Petronas kepada Kerajaan Persekutuan, Mustapa berkata, langkah itu dilakukan berdasarkan penilaian yang teliti oleh lembaga pengarah syarikat dan pembayarannya adalah berdasarkan keadaan dan prestasi kewangan semasa.

“Kelulusan bayaran dividen RM18 bilion pada Februari 2021 adalah berdasarkan prestasi dan pasaran pada 2020 yang berakhir Disember 2020. Jumlah ini adalah lebih rendah daripada tahun sebelumnya kerana impak daripada pasaran yang amat lemah dan harga minyak mentah global yang rendah akibat pandemik Covid-19.

“Kelulusan dividen tambahan RM7 bilion yang telah dibuat pada Julai 2021 pula adalah berdasarkan kemampuan dan unjuran prestasi pasaran minyak yang lebih baik bagi 2021,” tambahnya.

Terdahulu, Anwar menegaskan bahawa penting untuk kita perkukuh fungsi dan keupayaan Petronas sebagai institusi penting pembangunan negara, selain memantapkan aliran tunai syarikat tersebut.

“Kita menolak sebarang campur tangan politik berlebihan yang mendesak Petronas agar dividen dibayar melampau tinggi kepada kerajaan sehingga memberi kesan kepada penarafan dan keyakinan para pelabur. Gejala ini mesti dihentikan segera,” jelas beliau.

Menurut Anwar, usul beliau di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) dan (2) telah dilulus untuk dibahaskan di Kamar Khas (bukan di Dewan Rakyat) berkenaan penjualan aset gas Petronas di Azerbaijan yang bernilai hampir RM10 bilion.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya