Penduduk proaktif, bijak manfaat keindahan alam semula jadi di Kampung Nesam - Utusan Malaysia

Penduduk proaktif, bijak manfaat keindahan alam semula jadi di Kampung Nesam

ABU Bakar Hamzah bergambar bersama penduduk pada majlis perasmian Persatuan Penduduk Kampung Nesam serta sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat kampung itu di Kangar, Perlis semalam.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kampung Nesam yang terletak di kaki Banjaran Nakawan iaitu kira-kira lima kilometer dari bandar Kangar semakin dikenali dan menjadi tumpuan ramai.

Ia hasil usaha penduduk setempat yang cukup prokatif dan bijak memanfaatkan keindahan alam semula jadi di situ dengan memperkenalkan pelbagai produk dan aktiviti pelancongan.

Ini termasuk inisiatif persatuan penduduk di situ menyediakan kemudahan kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi atau lebih dikenali All Terrain Vehicle (ATV) untuk para pengunjung menikmati suasana indah dan mendamaikan melalui sekitar kampung-kampung menaiki kenderaan itu.

Inisiatif penduduk di kampung berkenaan turut mendapat pujian Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah dan kerajaan negeri yang memberi jaminan sentiasa menyokong usaha penduduk di situ.

Abu Bakar berkata, komuniti Kampung Nesam begitu proaktif memanfaatkan keindahan alam semula jadi di kawasan berkenaan melalui penganjuran pelbagai aktiviti pelancongan.

“Kerajaan negeri akan sentiasa menyokong inisiatif pelancongan desa dan komuniti seperti yang dilaksanakan oleh Persatuan Penduduk Kampung Nesam,” katanya pada majlis perasmian Persatuan Penduduk Kampung Nesam serta sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat kampung itu di sini semalam.

Baru-baru ini, Utusan Malaysia pernah melaporkan inisiatif Persatuan Penduduk Kampung Nesam  yang memperkenalkan aktiviti ATV di kawasan berkenaan.

ATV Panorama Desa Adventure itu menyediakan sebanyak tujuh buah ATV bagi memenuhi permintaan pengunjung yang tinggi khususnya pada cuti hujung minggu dan musim cuti sekolah.

Wakil komuniti itu, Syarul Nizam Yusri,34, dilaporkan berkata, ATV berkenaan mendapat sambutan hebat khususnya bagi mereka yang ingin menikmati keindahan alam semula jadi di kawasan tersebut.

Kata Syarul, ATV berkenaan melalui laluan sejauh empat kilometer merangkumi kawasan kampung dengan pemandangan sawah padi, Banjaran Nakawan dan terusan yang cukup indah.

Dalam pada itu, majlis perasmian dan sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat kampung berkenaan berlangsung cukup meriah yang dihadiri penduduk dan pemimpin setempat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN