Johor bincang penubuhan Pejabat Konsulat Jeneral China di JB - Utusan Malaysia

Johor bincang penubuhan Pejabat Konsulat Jeneral China di JB

CHONG Fat Full (kanan) mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah di Pejabat Kementerian Luar Negeri, Putrajaya, pada 4 Oktober lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor mengadakan pertemuan dengan Kementerian Luar bagi mengetahui perkembangan penubuhan Pejabat Konsulat Jeneral China di Johor Bahru seperti yang pernah dicadangkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. Chong Fat Full berkata, cadangan itu akan dapat meningkatkan sektor perdagangan dan memperkukuh hubungan dua hala antara Johor dan China.

Malah, kewujudan pejabat tersebut juga akan turut berperanan dalam mempromosikan sektor lain seperti pelancongan dan kebudayaan antara kedua-dua negeri dan negara berkenaan.

Beliau berkata, cadangan penubuhan pejabat tersebut amat tepat masanya dan pihaknya amat komited untuk mendokong hasrat dan saranan Sultan Johor mengenai perkara berkenaan. 

“Justeru itu, saya telah mengambil inisiatif mengadakan perjumpaan bersama Menteri dan Timbalan Menteri Luar pada Isnin minggu lalu bagi membuat susulan mengenai cadangan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Fat Full, pada 2 Februari lalu, Duta Besar China ke Malaysia,  Ouyang Yujing juga telah memberi maklumbalas bahawa kerajaan China sedang mengkaji dan meneliti cadangan Sultan Ibrahim.

Pada 2 April 2018, Sultan Ibrahim berkenan mencadangkan penubuhan Pejabat Konsulat Jeneral China di sini untuk terus memperkukuhkan hubungan dua hala antara Johor dan republik itu yang sekian lama terjalin.

Cadangan baginda disambut baik Duta Besar China Ke Malaysia ketika itu, Bai Tian ketika melakukan kunjungan hormat ke atas Sultan Ibrahim di Kelab Polo Diraja Johor, Istana Pasir Pelangi.

“Johor juga menjadi tumpuan utama pelancong China. Jika diwujudkan sebuah pejabat konsulat di sini, ia memudahkan mereka jika berdepan sebarang masalah membuat rujukan segera tanpa perlu ke Pejabat Duta Besar China di Kuala Lumpur,” titah baginda ketika itu.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN