KUANTAN: Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) mempertingkatkan usaha mengesan golongan tercicir di negeri ini bagi memastikan semua penduduk yang layak menerima suntikan vaksin Covid-19.
Pengarahnya, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus berkata, melalui program outreach yang dilaksanakan pelbagai pendekatan diambil kira termasuk mengenal pasti penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman, tidak mempunyai kemudahan teknologi dan kenderaan untuk ke pusat pemberian vaksin (PPV).
“Kalau lihat yang mendaftar dengan aplikasi MySejahtera sebahagian besar sudah menerima suntikan vaksin Covid-19, tetapi kita yakin masih ada lagi mereka yang tercicir.
“Mereka ini (individu tercicir) kemungkinan tidak mendaftar disebabkan ada masalah seperti kekangan teknologi, berada di kawasan pedalaman, ketiadaan talian telefon dan sebagainya.
“Jadi selebihnya (saki baki) kita akan mencari dan mendekati mereka melalui program outreach. Kita mahu mereka ini dapat disuntik (vaksin Covid-19) supaya peratus imuniti berkelompok dapat dicapai sepenuhnya. Begitu juga dengan golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun, kita akan mengesan seramai mungkin untuk memberi vaksinasi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat program vaksinasi Covid-19 di daerah Kuantan bersama golongan gelandangan dan rentan di Surau Al- Hidayah Komuniti Wong Ah Jang di sini semalam.
Kira-kira 85 peratus populasi dewasa di negeri ini sudah mendapat suntikan dos satu vaksin Covid-19 daripada seramai 1.175 juta penduduk dan masih ada saki baki individu yang gagal mendapat suntikan.
Mengulas tentang program vaksinasi kepada komuniti di kawasan Wong Ah Jang, Nor Azimi berkata, seramai 100 gelandangan dan rentan terdiri daripada populasi dewasa dan remaja dianggarkan menerima suntikan vaksin Covid-19 pada program itu.
“Kita akan mengadakan program sebegini sebanyak mungkin. Kalau kita lihat pada minggu lepas kita adakan di masjid dan kita dapati sambutan baik. Jadi, kita akan teruskan program ini di kawasan yang perkumpulan seperti tempat awam yang boleh kita mencari mereka yang belum disuntik,” katanya.
Seramai 1,286 remaja di seluruh Pahang adalah kumpulan tercicir yang terdiri daripada gelandangan, orang kelainan upaya dan mereka yang tidak bersekolah.
Sementara itu, berkaitan pemberian dos ketiga vaksin Covid-19, beliau menjelaskan, Pahang mempunyai perancangan dan bersedia sebagaimana kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
“Apa pun kita menunggu kenyataan rasmi, garis panduan dari Kementerian Kesihatan sebelum memulakan dos penggalak vaksin Covid-19 di Pahang,” katanya.










