KUANTAN: Veteran UMNO Paya Besar menyuarakan kebimbangan bahawa isu Titah Adendum Sultan Pahang yang juga bekas Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berpotensi menjadi percubaan bagi menghakis kuasa Raja-raja Melayu.
Pengerusi Veteran UMNO Paya Besar, Mohamed Ghazali Josoh berkata, sejarah penubuhan UMNO pada 11 Mei 1946 di Istana Besar Johor perlu dijadikan iktibar kerana ketika itu rakyat bangkit menentang Malayan Union yang cuba melemahkan institusi raja.
Beliau berkata, pada peringkat awal, UMNO berjuang dengan cogan kata ‘Hidup Melayu’ sebelum ditukar kepada Merdeka di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman, perubahan itu memperhebatkan perjuangan sehingga negara mencapai kemerdekaan pada 1957.
“Kejayaan menolak Malayan Union ketika itu bukanlah hasil kekuatan senjata, tetapi melalui permuafakatan rakyat bersama Raja-raja Melayu yang menjadi benteng mempertahankan maruah bangsa dan kedaulatan negara.
“Fenomena kebangkitan rakyat ketika itu mengejutkan pihak British yang menyangka orang Melayu lemah dan pasif, namun sebaliknya mereka bersatu menolak percaturan penjajah.
“Kami bimbang, apa yang berlaku kini melalui isu Titah Adendum mempunyai persamaan dengan cubaan British dahulu, iaitu melemahkan kedudukan Raja-raja Melayu melalui saluran politik dan perundangan,” katanya di sini hari ini.
Mohamed Ghazali berkata, rakyat perlu berwaspada agar tidak terperangkap dengan percaturan baharu yang boleh menghakis tonggak warisan negara, institusi Raja simbol perpaduan dan kestabilan yang tidak boleh digugat.
“Jika hilang tradisi ini, maka hilanglah tonggak warisan negara. Dan hilangnya juga tidak akan berganti lagi,” tegasnya.
Beliau menyeru agar seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan lapisan masyarakat mengambil iktibar daripada sejarah Malayan Union, kerana hanya dengan penyatuan suara rakyat bersama Raja-raja Melayu, negara dapat dipertahankan.
“Ketelusan, kebijaksanaan dan kewibawaan pemimpin amat penting dalam memastikan rakyat tidak sekali-kali membiarkan episod Malayan Union berulang kembali,” katanya.
Semalam, Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur memutuskan Titah Adendum bertarikh 29 Januari 2024 yang membenarkan Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah adalah tidak sah.
Hakim Alice Loke Yee Ching memutuskan Yang di-Pertuan Agong tidak boleh membuat keputusan pengampunan secara bersendirian dan pelaksanaan prerogatif pengampunan mesti dibuat melalui Mesyuarat Lembaga Pengampunan selaras Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Ekoran keputusan itu, Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP yang juga Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin memuat naik hantaran ‘satu lagi sebab untuk meraikan hujung tahun ini’ beserta berita tentang Najib.
Kenyataan dianggap biadap itu mendapat kecemaman khususnya dalam kalangan ahli dan pimpinan UMNO yang turut menggesa pimpinan utama parti tersebut memperhalusi semula kedudukan dalam kerajaan Pusat. – UTUSAN










