JKN Perak siasat remaja meninggal dunia sehari selepas terima dos kedua  - Utusan Malaysia

JKN Perak siasat remaja meninggal dunia sehari selepas terima dos kedua 

DING LAY MING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak menunggu laporan lengkap bedah siasat terhadap seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang meninggal dunia Ahad lalu, iaitu sehari selepas menerima dos kedua vaksin Covid-19.

Pengarahnya, Datuk Dr. Ding Lay Ming berkata, kesemua sampel tisu dalam badan remaja itu telah dihantar untuk pemeriksaan lanjut oleh Pakar Perubatan Forensik Patologi Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

“Laporan bedah siasat ini dikategorikan masih belum lengkap kerana masih terdapat keputusan ujikaji yang belum diterima.

“Pihak kami masih menunggu laporan bedah siasat yang lengkap bagi mengetahui punca sebenar kematian remaja terbabit,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook JKN Perak di sini hari ini.

Beliau memberitahu, pihaknya dimaklumkan mengenai kematian remaja itu pada Ahad lalu selepas dia disahkan meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Ipoh.

Katanya, remaja itu menerima dos kedua vaksin Covid-19 pada Sabtu lalu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat dan dilaporkan hanya mengalami sakit di tempat suntikan selepas vaksinasi.

“Remaja itu dimaklumkan tidak mempunyai sebarang alahan terhadap vaksin atau ubat dan tidak diketahui mempunyai sebarang penyakit kronik.

“Dia juga tidak memaklumkan sebarang masalah atau komplikasi selepas menerima suntikan dos pertama,” katanya.

Beliau berkata, pada pukul 9.30 pagi Ahad lalu iaitu sehari selepas suntikan vaksin tersebut, remaja itu ditemui dalam keadaan sesak nafas dan tidak sedarkan diri di rumahnya.

“Remaja itu telah dibawa ke sebuah hospital swasta di Ipoh untuk rawatan kecemasan namun disahkan telah meninggal dunia pada pukul 10.40 pagi.

“Bedah siasat telah dijalankan pada hari sama pukul 3.40 petang dan mendapati terdapat penyempitan saluran paru-paru (Spontaneous Bronchospasm),” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya