PONTIAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu terus membuat pemantauan harga barangan keperluan harian supaya pengguna tidak terbeban.
Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tindakan tegas dengan menggunakan Akta Antipencatutan perlu dikenakan bagi menangani kes-kes kenaikan harga yang tidak munasabah dan melampau.
Katanya, ketika rakyat baru mula ‘bernafas‘ setelah terkurung hampir dua tahun disebabkan pandemik Covid-19, isu kenaikan harga barangan menyebabkan mereka berhadapan pula dengan belanja tambahan.
Menurut beliau, pemeriksaan lebih kerap perlu dilakukan oleh KPDNHEP ke atas rangkaian pengeluar, orang tengah, pengedar, pemborong dan peruncit bagi memastikan kenaikan harga dapat dikawal.
“Ada dalam kalangan rakyat yang kembali memulakan kehidupan baharu, baru bekerja dan memulakan perniagaan kecil-kecilan bagi meneruskan kelangsungan hidup, namun kenaikan harga menyebabkan mereka kecewa.
“Perlu ada tolak ansur dan bersikap sebagai Keluarga Malaysia yang kini semakin dihimpit masalah supaya mereka kembali menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya selepas menyampaikan hadiah pertandingan memancing di Kampung Parit Haji Omar, Api-Api.
Beliau mengulas kenyataan Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George yang memaklumkan harga hampir semua barang membabitkan makanan dan binaan meningkat antara 15 hingga 50 peratus sebaik aktiviti rentas negeri dibuka pada 11 Oktober lalu.
Jacob berkata, dari segi makanan, peningkatan tersebut dikesan berdasarkan kajian CASSA di seluruh negara khasnya di kawasan-kawasan pelancongan.
Sementara itu, Ahmad mencadangkan pembukaan Kedai Harga Patut perlu dilaksanakan semula dengan lebih meluas bagi memberikan pilihan kepada pengguna membeli barangan keperluan harian mereka.
“Pengguna perlu diberikan banyak pilihan dan tidak terikat dengan harga di sesebuah kedai sahaja kerana semua pihak merasa terkesan apabila harga barangan naik mendadak,” ujarnya.
Beliau juga meminta supaya agensi berkaitan dengan pengeluar makanan mewujudkan lebih banyak kawasan jualan terus kepada pengguna seperti sayur-sayuran, ikan, ayam dan barangan segar lain.
“Dalam situasi getir saat ini, situasi menang-menang antara peniaga dan pengguna mampu memberikan semua pihak saling bantu-membantu agar tidak timbul pelbagai tuduhan yang tidak baik,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE