PETALING JAYA: Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir menyifatkan, nyawa rakyat tidak perlu dipertaruhkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hanya kerana kemaruk kuasa oleh sesetengah pihak.
Beliau berkata, Pejuang sama sekali menolak tindakan UMNO untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri di Melaka susulan penarikan sokongan empat ahli Dewan Undangan Negeri itu terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Katanya, pertelingkahan dalaman UMNO tidak sepatutnya mengheret seluruh rakyat Melaka ke dalam kancah politik melalui PRN yang tidak perlu ketika Melaka bahau memasuki Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara.
“Hari ini sahaja terdapat 9,380 kes baharu yang dilaporkan di seluruh negara dan dari jumlah itu, 200 kes adalah di Melaka.
“Sepatutnya kepimpinan UMNO dan Perikatan Nasional (PN) peka dengan keadaan kadar jangkitan Covid-19 yang menular ke seluruh negara sejurus selepas PRN Sabah lalu.
“Apakah nyawa rakyat Melaka dan Malaysia hendak dipertaruhkan semata-mata untuk mengekalkan atau merampas kuasa kerajaan negeri?.
“Tidakkah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sudah menitahkan agar dikurangkan suhu politik dan diutamakan kesejahteraan rakyat?,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, kira-kira 500,000 pengundi berdaftar di negeri itu sekali lagi akan menentukan kerajaan baharu selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan berkuat kuasa kelmarin, sekali gus memberi laluan kepada pi lihan raya negeri (PRN) dalam tempoh 60 hari.
Pembubaran itu diumumkan oleh Yang Dipertua DUN, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh pada sidang akhbar khas di Jabatan Ketua Menteri, Seri Negeri, Ayer Keroh, semalam.
Menurut Mukhriz, keputusan untuk membubar DUN Melaka dan mengadakan PRN sebaiknya ditarik balik atas kepentingan nyawa rakyat.
“Pemimpin UMNO dan PN di peringkat Pusat dan negeri dituntut ketepikan kepentingan peribadi parti dan hentikan politik toksik serta sebaiknya meletakkan kepentingan rakyat terkehadapan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










