Jangan ambil kesempatan naik harga barang, makanan - Utusan Malaysia

Jangan ambil kesempatan naik harga barang, makanan

ABDUL Yunus Jamahri menampal pelekat AKHP di CK Supersave Mart di Pulau Pangkor. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Peniaga di negeri ini diingatkan agar tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang jualan termasuk makanan selepas kerajaan membenarkan aktiviti rentas negeri sejak 11 Oktober lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Abdul Yunus Jamahri berkata, golongan itu perlu menjadi peniaga yang beretika.

Menurutnya, perkara sedemikian perlu dielakkan meskipun belum ada aduan berkenaan peniaga yang menaikkan harga barang jualan dan makanan lebih tinggi berbanding sebelum rentas negeri dibenarkan.

“Setakat ini tiada aduan terima mengenai kenaikan harga barang selepas kebenaran rentas negeri bermula 11 Oktober lalu, mungkin masih baharu.

“Saya nasihatkan agar golongan peniaga di Perak tidak mencatut atau mengambil keuntungan berlebihan, menjual barang tidak berkualiti dan mengelirukan pengguna dengan maklumat iklan tidak lengkap,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas penyampaian Sijil Anugerah Kedai Harga Patut (AKHP) dan pemantauan bekalan dan harga barangan di Pulau Pangkor di Coral Bay Resort di sini hari ini.

Abdul Yunus turut menyarankan orang ramai terutamanya pengunjung ke negeri ini menggunakan peranan mereka sebagai pengguna sekiranya terdapat peniaga menaikkan harga barang dan makanan sewenang-wenangnya.

Menurutnya, pengguna boleh membuat aduan rasmi jika peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga selain menggunakan hak dan kuasa sebagai pengguna.

“Orang ramai juga disarankan untuk mengamalkan konsep pengguna bijak seperti mengutamakan kualiti berbanding jenama dan selalu membandingkan harga,” katanya.

Sementara itu, Abdul Yunus berkata, pemantauan bersama pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di Pulau Pangkor mendapati, harga barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan di pulau bebas cukai itu berpatutan.

“Tiada peningkatan harga yang ketara dikesan manakala tahap pematuhan SOP oleh golongan peniaga dan pelanggan di premis perniagaan pada tahap yang baik,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya