PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menganjurkan Program Jangkauan Rakan Setia Komuniti Pengkalan Chepa, Kelantan bermula esok hingga 11 Oktober ini khusus untuk menyantuni Orang Kena Pengawasan (OKP) Dadah.
Program itu dianjurkan dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK), Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Yayasan Waqaf Malaysia (YWM), Yayasan Ihtimam Malaysia (YIM) dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam).
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, program julung kali itu akan disertai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa.
Beliau berkata, penganjuran program bertepatan dengan manifestasi Pelan Strategik Jakim 2019-2025 Teras Strategik 4, iaitu Memantapkan Kefahaman dan Penghayatan Islam Secara Inklusif Bagi Melahirkan Masyarakat yang Berakhlak.
“Ia juga selaras dengan prinsip Maqasid Syariah yang bertujuan menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Katanya, Jakim sendiri melalui Bahagian Keluarga, Sosial Dan Komuniti mengadakan Program Rakan Setia Komuniti Orang Kena Pengawasan (OKP) dadah sejak tahun 2011 lagi dengan lebih 7,000 peserta mengikuti program tersebut.
OKP dadah ialah mereka diletakkan dalam pengawasan AADK untuk menjalani pemulihan dalam komuniti selama dua hingga tiga tahun melalui perintah mahkamah.
Abdul Aziz berkata, pengisian program itu antara lain menitikberatkan pengisian dan pendekatan kerohanian yang dilaksanakan secara interaktif dan aktiviti berkumpulan.
“Oleh kerana kita masih di dalam fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) maka, program sedia ada diubah suai mengikut ketetapan norma baharu dengan mengambil pendekatan jangkauan luar iaitu menziarahi sambil menyantuni kumpulan sasar.
“Namun begitu pendekatan sama digunakan dengan penghayatan agama terus diutamakan melalui sesi kaunseling, khidmat nasihat dan bimbingan melalui kaedah Psikospiritual Islam dan disusuli dengan sumbangan,” katanya.
Katanya, Program Jangkauan Luar Rakan Setia Komuniti Pengkalan Chepa itu dibahagikan kepada tiga kumpulan kecil yang mana setiap kumpulan dianggotai pegawai dari Jakim, AADK, JAHEIK, Pemadam dam YIM.
Jelasnya lagi, kumpulan ini turun menyantuni 30 keluarga klien selain memberi penerangan, kefahaman, penghayatan serta merungkai permasalahan semasa berkaitan isu-isu keagamaan, kekeluargaan, masa depan dan hala tuju hidup.- UTUSAN ONLINE