LANGKAWI: Kebanyakan ibu bapa menaruh keyakinan tinggi terhadap kecekapan pihak pengurusan sekolah di pulau peranginan ini dalam mewujudkan persekitaran yang selamat apabila sekolah dibuka.
Pengoperasian sekolah di Langkawi dilaksanakan mengikuti ketetapan negeri dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Mereka percaya kesemua 29 sekolah di pulau ini telah mematuhi garis panduan dan pengoperasian sekolah serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan bagi memastikan tidak berlaku penularan Covid-19 di sekolah.
Pada masa sama, ibu bapa juga gembira apabila anak-anak mereka dapat belajar semula di sekolah secara bersemuka selepas belajar melalui kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) bermula Jun lalu.
Seorang bapa, Azman Ahmad, 50, dari Kampung Ayer Hangat berkata, walaupun penularan Covid-19 masih belum reda sepenuhnya, namun dia memberi kebenaran kepada tiga daripada enam anaknya hadir ke sekolah yang mula dibuka semalam.
Menurutnya, tiga anaknya yang masih bersekolah berusia sembilan hingga 14 tahun itu belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Hangat dan Sekolah Kebangsaan (SK) Penghulu Ahmad di sini.
“Saya percaya pihak sekolah akan memperketatkan lagi SOP selepas sekolah dibuka semula bagi menjamin keselamatan pelajar.
“Segelintir ibu bapa mungkin bimbang dengan keselamatan anak-anak ketika berada di sekolah dengan penularan Covid-19, namun sampai bila anak-anak mereka dapat ke sekolah untuk menunggu wabak itu reda sepenuhnya,” katanya ketika ditemui di Jeti Tanjung Rhu di sini semalam.
Malah, Azman yang bekerja sebagai pemandu bot pelancong memberitahu, Kementerian Pendidikan juga memberi kelonggaran kepada pelajar daripada keluarga miskin yang tidak mampu untuk membuat persiapan membeli pakaian seragam dibenarkan hadir ke sekolah dengan berpakaian biasa.
“Bagaimanapun anak-anak saya yang bersekolah rendah itu tetap mahu memakai pakaian seragam sekolah seperti biasa,” katanya.

Utusan Malaysia pada 28 September lalu melaporkan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, sebanyak 29 sekolah di pulau ini bersedia sepenuhnya menerima kehadiran pelajar menjelang pembukaan sesi bersemuka bermula pada 3 Oktober.
Jelasnya, pengoperasian sekolah di pulau legenda ini akan dilaksanakan mengikut ketetapan negeri dalam Fasa 4 PPN.
Seorang lagi bapa, Azmail Azami, 34, berkata, tiga orang anaknya berusia tujuh hingga 13 tahun cukup teruja untuk hadir ke sekolah selepas mengikuti sesi PdPR sejak Jun lalu.
Katanya, anak-anaknya telah membuat persiapan awal untuk tidak ketinggalan ke sekolah.
“Ketiga-tiga anak saya lebih seronok sekiranya dapat belajar secara bersemuka di sekolah berbanding sesi PdPR,” katanya.
Azmail yang juga bekerja sebagai pemandu bot pelancong memberitahu, anak lelakinya yang belajar di SMK Ayer Hangat telah menerima satu dos suntikan vaksin baru-baru ini.
“Saya mengharapkan anak saya itu mendapat suntikan dos kedua vaksin dalam tempoh terdekat ini,” tambahnya.
Seorang pembantu kedai, Rohani Hassan, 37, dari Kampung Behor Chempedak berkata, dia mempunyai seorang sahaja anak dan masih bersekolah di SMK Ayer Hangat tetap bersemangat untuk hadir ke sekolah selepas begitu lama belajar di rumah.
Katanya, rakan-rakan anaknya juga menyatakan mereka tidak sabar lagi ke sekolah untuk berjumpa dengan guru masing-masing selepas belajar secara PdPR.
“Malah anak saya telah membuat persediaan awal menyiapkan alat tulis dan buku sekolah lebih awal,” katanya.










