IBFIM lancar platform inovatif bagi industri kewangan islam - Utusan Malaysia

 IBFIM lancar platform inovatif bagi industri kewangan islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) telah melancarkan platform inovatif e-pembelajaran terbaharu iaitu Program Pembelajaran Berterusan (CLep).

Menerusi program perintis yang memberi fokus kepada pembelajaran takaful, CLep  bertujuan meningkatkan tahap pengetahuan dan kecekapan pengendali takaful melalui platform digital.

Menurut IBFIM, program tersebut diberikan tuntutan mata Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) oleh Persatuan Takaful Malaysia (MTA) melalui Sistem Pengurusan Pembelajaran IBFIM atau i-Class yang memberi pengalaman pembelajaran mudah serta lancar.

Pengerusi MTA, Elmie Aman Najas berkata, pelancaran CLep untuk Takaful adalah tepat pada masanya kerana keperluan untuk latihan sekarang adalah lebih tertumpu kepada platform digital berdasarkan norma baharu.

“MTA merasa amat bangga kerana CLep untuk Takaful adalah yang pertama dilancarkan di mana ia menyediakan pengamal industri untuk tahap pembelajaran dan kelayakan profesional seterusnya, iaitu Kelayakan Pertengahan dalam Kewangan Islam (IQIF) Takaful dan Kelayakan Bertauliah dalam Kewangan Islam (CQIF) Takaful untuk mencapai kredibiliti dalam amalan takaful.

“Kami ingin menyeru semua pengendali takaful dan takaful semula untuk memanfaatkan platform baharu yang ditawarkan IBFIM itu dan menggabungkannya ke dalam kurikulum latihan dalaman,” katanya dalam kenyataan.

Ujarnya, isi kandungan CLep memberi peluang kepada setiap pengamal industri untuk memadankan dan menyesuaikan hasil pembelajaran yang ingin diperolehi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IBFIM, Yusry Yusoff berkata, pihaknya amat berbesar hati kerana melalui kerjasama dan sokongan berterusan dari MTA, CLep akan memberi peluang kepada pengamal industri takaful kaedah pembelajaran alternatif di mana modul pembelajaran adalah ringkas, mudah diakses dan pada kadar yuran yang rendah.

“CLep untuk Takaful terdiri daripada 18 topik bagi memenuhi keperluan pembelajaran industri takaful termasuk lebih daripada seratus ribu pengendali takaful di seluruh negara.

“Pada fasa seterusnya, IBFIM dijangka akan menyediakan modul CLep bagi industri lain seperti perbankan, pengurusan pelaburan, kewangan sosial dan kelestarian.

“Sebagai sebuah institusi yang telah wujud selama lebih 25 tahun, telah menjadi mandat dan keutamaan kami untuk memberikan penyelesaian yang terbaik dalam pertumbuhan modal insan di dalam industri kewangan Islam,” katanya.

Pihaknya yakin dengan memberikan modul pembelajaran yang berkualiti tinggi dan terkini, ia akan menyumbang kepada kejayaan industri yang berterusan.

“Pada masa yang sama, IBFIM juga telah mengkaji semula modul IQIF dan CQIF Takaful dalam memastikan para pengamal industri terus mengikuti perkembangan industri semasa,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya