PUTRAJAYA: Sejumlah 206 kes daripada daripada 9,751 kes positif Covid-19 yang direkodkan hari ini adalah kategori tiga, empat dan lima atau hanya meliputi 2.1 peratus.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, selebihnya adalah adalah terdiri daripada kategori satu dan dua iaitu sebanyak 9,545 kes (97.9 peratus).
Beliau berkata, tempat kerja terus merekodkan pertambahan kluster tertinggi iaitu enam daripada 10 kluster dengan dua komuniti manakala kumpulan berisiko tinggi dan pendidikan tinggi, masing-masing satu kluster.
Menurut beliau, tempat kerja melibatkan dua di Selangor manakala Kuala Lumpur, Perak, Melaka dan Johor, masing-masing satu kluster.
“Kluster komuniti pula melibatkan dua di Pahang manakala satu kluster kumpulan berisiko tinggi di Kelantan dan satu kluster pendidikan tinggi di Kuala Lumpur.
“Jumlah terbabit menjadikan keseluruhan kluster aktif sebanyak 874 kluster manakala 4,696 kluster tamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, Malaysia mencatatkan penurunan kes positif Covid-19 iaitu 9,751 kes berbanding semalam, 9,890 kes sekali gus terus diatasi 12,724 kes sembuh manakala 792 kes Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 386 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.
Katanya, Selangor kembali merekodkan kes tertinggi iaitu 1,796 kes diikuti Sarawak (1,339) dan Kelantan (1,052).
“Sebanyak 10 negeri mencatatkan Johor (864), Sabah (705), Terengganu (650), Perak (643), Pulau Pinang (632), Kedah (578), Pahang (551), Kuala Lumpur (313), Melaka (244) dan Negeri Sembilan (243).
“Perlis merekodkan sebanyak 94 kes dan Putrajaya, 45 kes manakala Labuan hanya dua kes,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, Malaysia semalam, mencatatkan peningkatan jumlah kes kematian yang dilaporkan, 132 kes berbanding kelmarin, 105 kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 7 petang, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 26,981 kes.
Sebanyak 26 daripada 132 kematian melibatkan kes yang dibawa ke hospital (BID) dengan jumlah keseluruhan kes sebanyak 5,450 kes. – UTUSAN ONLINE