PUTRAJAYA: Tempat kerja kembali merekodkan jumlah terbanyak dengan pertambahan enam daripada 14 kluster Covid-19, hari ini, diikuti lima komuniti manakala kumpulan berisiko tinggi, pendidikan lain dan pendidikan swasta masing-masing satu kluster.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, tempat kerja melibatkan dua di Pulau Pinang manakala Selangor, Pahang, Melaka dan Johor, masing-masing satu kluster.
Katanya, kluster komuniti melibatkan tiga di Johor manakala Sarawak dan Selangor, masing-masing satu kluster.
“Tiga kluster lain iaitu satu kluster kumpulan berisiko tinggi di Perak serta satu kluster pendidikan lain di Kuala Lumpur dan satu kluster pendidikan swasta di Selangor.
“Jumlah terbabit menjadikan keseluruhan kluster aktif sebanyak 783 kluster manakala 4,828 kluster yang tamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, Malaysia mencatatkan peningkatan kes positif Covid-19 iaitu 7,276 kes berbanding semalam, 6,709 kes sekali gus terus diatasi 10,555 kes sembuh manakala 724 kes Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 398 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.
“Daripada 7,276 kes harian yang dilaporkan, sebanyak 150 kes (2.1 peratus) adalah kategori tiga, empat dan lima.
“Baki 7,126 kes bersamaan 97.9 peratus lagi adalah terdiri daripada kategori satu dan dua,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, Malaysia semalam, mencatatkan peningkatan jumlah kematian yang dilaporkan iaitu 93 kes berbanding kelmarin, 64 kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 7 petang, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my menjadikan jumlah kematian keseluruhan kes terkini sebanyak 27,422 kes.
Sebanyak 16 daripada 93 kematian melibatkan kes yang dibawa ke hospital (BID) dengan jumlah keseluruhan kes sebanyak 5,530 kes.
Sebanyak 756 kes memerlukan rawatan di ICU manakala 397 pesakit memerlukan Alat Bantuan Pernafasan (ABP) manakala pesakit yang perlu ditempatkan di wad adalah seramai 1,388 orang. – UTUSAN ONLINE