PUTRAJAYA: Kluster tempat kerja dan komuniti, masing-masing mencatatkan empat kluster Covid-19 daripada 10 kluster, hari ini dengan bakinya, dua kluster kumpulan berisiko tinggi.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kluster komuniti melibatkan dua di Kelantan manakala Terengganu dan Sarawak, masing-masing satu kluster.
“Kluster tempat kerja pula, tiga di Johor dan satu di Kelantan manakala kluster kumpulan berisiko tinggi, Perak dan Pahang, masing-masing satu kluster.
“Jumlah terbabit menjadikan keseluruhan klaster aktif sebanyak 1,044 kluster manakala 4,457 kluster yang telah tamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, Malaysia mencatatkan penurunan kes positif Covid-19 iaitu 10,915 kes berbanding semalam, 11,889 kes sekali gus terus diatasi 15,396 kes sembuh manakala 888 kes Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 484 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.
Katanya, Sarawak terus menjadi penyumbang terbanyak iaitu 2,121 kes diikuti Selangor (1,386), Kelantan (1,288) dan Johor (1,124).
“Sembilan negeri mencatatkan kes tiga angka iaitu Perak (862), Terengganu (818), Sabah (784), Pulau Pinang (768), Kedah (574), Pahang (504), Melaka (216), Negeri Sembilan (211) dan Kuala Lumpur (171)
“Perlis merekodkan 58 kes dan Putrajaya, 26 kes manakala Labuan hanya empat kes,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kes kematian, Malaysia semalam, mencatatkan kematian sebenar akibat Covid-19 (purata tujuh hari) iaitu 83 kes berbanding kelmarin yang dilaporkan, 89 kes sebelum ia berubah kepada 104 kes.
Rekod terbabit adalah setakat jam 7 petang ini yang berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my,
Bagi jumlah kes kematian yang dilaporkan, berlaku penurunan, sebanyak 121 kes berbanding kelmarin, 192 kes.
Jumlah kematian menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 26,456 kes.
Sebanyak 28 daripada 121 kematian melibatkan kes yang dibawa ke hospital (BID) dengan jumlah keseluruhan kes sebanyak 5,279 kes.
Jika dibahagikan mengikut negeri, Sarawak kembali mencatatkan kematian dilaporkan 25 kes manakala kematian sebenar harian (purata tujuh hari), 10 kes diikuti Johor (17/16), Sabah (17/11), Selangor (15/8), Kelantan (15/3), Perak (7/6), Pulau Pinang (6/12), Kedah (6/5), Kuala Lumpur (7/2), Perlis (3/2), Terengganu (2/3), Pahang (1/3) dan Melaka (0/2).
Bagaimanapun, Negeri Sembilan, Labuan dan Putrajaya tidak mencatatkan sebarang kematian bagi dua kategori itu. – UTUSAN ONLINE