Ugut parti, Kumaresan gesa Rafizi berundur daripada PKR

Ugut parti, Kumaresan gesa Rafizi berundur daripada PKR

A. KUMARESAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Tindakan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli mengeluarkan kenyataan berbentuk ugutan terhadap PKR disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab kerana ia akan melemahkan parti itu dan kerajaan di mata rakyat.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, A. Kumaresan berkata, jika benar Rafizi menganggap dirinya lebih ‘kuat’ daripada parti, maka, pemimpin tersebut perlu berundur dan tidak bersikap seperti ‘talam dua muka’.

“Cukuplah sandiwara ini. Rafizi tidak boleh terus berada dalam parti sambil merosakkan parti dari dalam. Itu bukan prinsip, itu hipokrasi politik.

“Justeru, demi maruah parti dan keyakinan rakyat, hanya satu langkah yang wajar diambil, Rafizi Ramli wajib berundur,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Rafizi menyifatkan bahawa gesaan supaya beliau meninggalkan PKR bukanlah penyelesaian, sebaliknya akan menimbulkan risiko lebih besar kepada parti.

Beliau berkata, keluar parti bukan bermakna berdiam diri, sebaliknya beliau akan lebih bebas bersuara dan tegas menegur pimpinan serta dasar parti.

Dalam pada itu, Kumaresan yang juga merupakan Naib Pengerusi PKR Pulau Pinang berkata, seorang pemimpin yang benar-benar ikhlas berjuang tidak akan sesekali mengugut parti sendiri demi mendapatkan ‘leverage’ atau pengaruh dalam politik.

“Oleh itu, kenyataan ini (Rafizi) dengan jelas membuktikan bahawa perjuangan beliau hari ini bukan lagi tentang rakyat atau reformasi, tetapi tentang kedudukan dan kepentingan peribadi,” ujar beliau.

Kumaresan turut mempersoalkan tindakan Rafizi yang dilihat hanya lantang bersuara ketika tidak lagi berada dalam kedudukan kuasa.

“Sepanjang tiga tahun berkhidmat sebagai Menteri Ekonomi, mengapa beliau tidak bersuara seperti hari ini? Mengapa kini hanya lantang di pentas ‘podcast’ (audio siar) selepas tidak lagi memegang jawatan?

“Lebih membimbangkan, tindakan beliau (Rafizi) dilihat sebagai usaha terdesak untuk mengalihkan perhatian daripada isu skandal pelaburan ARM berjumlah RM1.12 bilion yang didakwa membabitkan pegawai di bawah pejabatnya,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN