Hakim, Timbalan Pendakwa Raya, peguam dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan rasuah - Utusan Malaysia

Hakim, Timbalan Pendakwa Raya, peguam dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan rasuah

AZMIL Muntapha Abas (dua kanan), Khairul Azhwa Yusrie Mohamed (tengah) dan Noor Amirul Nazreen Anas (dua kiri) dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan secara bersama menerima suapan berjumlah RM17,500 di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang Hakim, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dan peguam menarik nafas lega apabila Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan mereka atas tuduhan secara bersama menerima suapan berjumlah RM17,500, Julai 2019.

Hakim Rihaida Rafie membuat keputusan itu terhadap tertuduh pertama, Noor Amirul Nazreen Anas, Khairul Azhwa Yusrie Mohamad (kedua) dan Azmil Muntapha Abas (ketiga) pada akhir kes peringkat pendakwaan.

Dalam penghakimannya, Rihaida mengemukakan tiga elemen di mana hanya elemen pertama iaitu tertuduh kedua dan ketiga merupakan penjawat awam sahaja berjaya dibuktikan pihak pendakwaan.

Bagaimanapun kata Rihaida, pihak pendakwaan gagal membuktikan dua lagi elemen iaitu semua tertuduh setuju menerima wang suapan berjumlah RM17,500 dan wang tersebut dijadikan sebagai upah oleh tertuduh ketiga untuk menjatuhkan hukuman denda terhadap warga asing yang melakukan kesalahan Imigresen.

“Siasatan dijalankan oleh pegawai penyiasat adalah lemah, tidak menyeluruh serta gagal mengambil tindakan siasatan dalam kes, dengan itu terdapat kelompongan dalam siasatan kes pihak pendakwaan.

“Mahkamah seterusnya mendapati kegagalan membuktikan elemen-elemen utama dan bercanggahan serta kelompongan dalam kes pihak pendakwaan adalah fakta dan menjejaskan kes ini, maka dalam keadaan tersebut pihak pendakwaan telah gagal membuktikan satu kes prima facie terhadap semua tertuduh,” katanya.

Azmil Muntapha, 47, yang sebelum ini Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu; Khairul Azhwa, 34, yang juga bertugas sebagai Timbalan Pendakwa Raya di mahkamah sama serta peguam, Noor Amirul Nazreen, 33, didakwa bersetuju menerima suapan berjumlah RM17,500 di mahkamah terbabit antara pukul 9.30 pagi hingga 2.45 petang pada 17 Julai 2019.

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Kes yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM, Allan Suman Pillai dan Maziah Mohaide memanggil seramai 28 saksi pendakwaan dan mengemukakan 89 eksibit sejak kes itu didakwa kali pertama pada 6 November 2019.

Tertuduh pertama dan kedua mewakili diri masing-masing manakala tertuduh ketiga diwakili peguam bela, Ridha Abdah Subri dan Hamdan Hamzah.

Azmil merupakan majistret bagi prosiding inkues melibatkan kes kematian Teoh Beng Hock yang merupakan Setiausaha Politik Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah yang ditemui mati di koridor Plaza Masalam di sini yang menempatkan bangunan SPRM Selangor ketika itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya