Hajiji ulang pendirian kerjasama GRS untuk lima tahun - Utusan Malaysia

Hajiji ulang pendirian kerjasama GRS untuk lima tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengulangi pendirian untuk meneruskan kerjasama dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi tempoh lima tahun.

Pendirian itu secara jelas menunjukkan Bersatu Sabah tidak berminat dengan ajakan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin untuk bertembung kerusi.

HAJIJI NOOR

Ketua Menteri Sabah berkata, ini sependapat dengan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyifatkan landskap politik Sabah unik maka, mereka akan meneruskan kerjasama dalam GRS di peringkat negeri.

Walau bagaimanapun, beliau maklum dengan kenyataan Bung Moktar yang bersedia bertembung kerusi dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi mengulas kenyataan Muhyiddin.

Hajiji berkata, apa yang dinyatakan oleh Muhyiddin pada Sabtu hanya sebagai maklum balas kepada kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mahu mempertahankan kerusi parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi UMNO pada PRU lalu.

“Namun, Muhyiddin menjelaskan bahawa situasi politik di Sabah sangat unik jadi, situasi di negeri ini berbeza (dengan Semenanjung Malaysia).

“Di peringkat negeri, kita akan berbincang dengan semua komponen parti dalam GRS untuk mengenal pasti langkah penyelesaian terbaik untuk berhadapan PRU,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas beliau, Muhyddin turut mengiktiraf keunikan landskap politik Sabah dan menyerahkan mandat kepada Hajiji untuk berbincang tentang perkara ini dengan GRS.

“Apa yang penting adalah kita bekerjasama dan menghormati mandat yang diberikan oleh rakyat. Kita mempunyai banyak kerja yang perlu dilakukan termasuk melaksanakan agenda pembangunan dan menguruskan pandemik Covid-19 serta memulihkan ekonomi negeri.

“Maka, ketepikan dahulu isu politik agar kita boleh fokus kepada pengurusan Covid-19 dan pemulihan ekonomi,” katanya.

Bung Moktar, yang juga Timbalan Ketua Menteri semalam menyatakan UMNO Sabah bersedia untuk bertembung dengan Bersatu atau mana-mana parti pada PRU akan datang kerana UMNO akan mempertahankan semua kerusi yang dimenangi dalam PRU lalu termasuklah kerusi yang kini dimiliki oleh Bersatu.

GRS dianggotai oleh Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS). PN terdiri daripada Bersatu, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah, Parti Maju Sabah (SAPP), Pas dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) manakala, BN terdiri daripada UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).-UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN