PETALING JAYA: Pelari 110 meter (m) berpagar negara, Mohd Rizzua Haizad Muhamad mempunyai misi serampang dua mata dalam Kejohanan Olahraga Asia (ATF) di Gumi, Korea Selatan pada 27 hingga 31 Mei ini.
Pertama, atlet berusia 28 tahun itu mahu mengesahkan tempat lebih awal ke Sukan SEA 2025 selain memperbaiki catatan terbaiknya iaitu 13.85 saat (s) yang dilakukannya di Kejohanan Olahraga Asia di Bangkok pada 13 Julai 2023.
Rizzua yang kini dalam fasa persiapan akhir ke ATF turut meneruskan misinya untuk memecahkan rekod 110 m kebangsaan milik Rayzam Shah Wan Sofian yang dipegangnya sejak 2017.
“Setakat ini semuanya baik. Latihan dalam keadaan bebas kecederaan walaupun sebelum ini pernah mengalami kecederaan di bahagian pinggul, tendon bengkak. Alhamdulilah latihan berjalan dengan lancar, harap tak alami kecederaan di Korea.
“Matlamat peribadi saya di ATF ini kalau diikutkan sangat besar sebab nak melayakkan diri ke Sukan SEA terlebih dahulu dan memperbaharui catatan peribadi, itu keutamaan saya. Keutamaan saya nak pecahkan rekod kebangsaan,” katanya.
Rizzua pernah beraksi sebanyak dua kali di pentas temasya dwitahunan itu namun masih belum pernah memenangi sebarang pingat ketika edisi 2017 di Kuala Lumpur dan 2021 di Hanoi, Vietnam.
Sebagai rekod, Rayzam Shah mencatat kepantasan 13.67 s ketika menjuarai final sebuah kejohanan di Weinheim, Jerman pada 2017, sekali gus meleburkan rekod kebangsaan berusia 23 tahun milik Nur Herman iaitu 13.73s pada Sukan Asia 1994 di Hiroshima, Jepun. – UTUSAN










