Guru KAFA derita pelbagai penyakit perlu bantuan - Utusan Malaysia

Guru KAFA derita pelbagai penyakit perlu bantuan

NORHASLINDA Hassan terlantar di katil ditemani oleh suaminya, Kamaruddin Mohd. Kholik (kiri) dan dua orang anak di Felda Tekam Utara di Jerantut, Pahang. – UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Kehidupan seorang guru Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA), Norhaslinda Hassan, 42, diibaratkan sebagai ‘jatuh ditimpa tangga’ apabila diuji dengan komplikasi pelbagai penyakit sehingga menyebabkannya hanya mampu terlantar di katil.

Norhaslinda yang tinggal di Felda Tekam Utara di sini terlalu sedih sehingga tidak mampu menceritakan penderitaannya setelah mula terlantar hampir dua bulan sehinggalah urusan kebajikan dan kebersihan diri diuruskan oleh suaminya, Kamaruddin Abdul Kholik, 44, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan sekolah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Kamaruddin memberitahu, segala-galanya bermula selepas dua minggu isterinya menerima suntikan vaksin pada bulan September lalu menyebabkan penyakit kebas mula menyerang di kedua-dua belah kaki isterinya.

“Selepas disuntik vaksin, isteri saya mengadu rasa kebas semakin menjadi-jadi di kedua belah kaki dan lama kelamaan membuatkan dia lemah malahan tidak mampu berdiri dan berjalan lagi.

“Saya membawa isteri untuk mendapatkan pemeriksaan serta rawatan di Hospital Sultan Ahmad Shah (Hosas), Temerloh dan doktor membuat pemeriksaan menerusi peralatan pengimbas (MRI) dan kemudiannya ditempatkan di wad selama tujuh hari,” katanya di Felda Tekam Utara di sini semalam.

Menurut Kamaruddin, sebelum ini, isterinya menderita penyakit kencing manis selama enam tahun hanya makan ubat dan mengalami masalah penglihatan, tetapi masih mampu ke tempat kerja, iaitu mengajar al-Quran dan KAFA di Felda Kota Gelanggi Dua.

Katanya, semasa tinggal di wad, pemeriksaan dibuat oleh doktor dan memberitahu isterinya telah mengalami beberapa komplikasi penyakit lain.

“Menerusi pengimbasan, pemeriksaan darah dan sebagainya, doktor memberitahu isteri saya mengalami penyakit batuk kering (Tibi), masalah tulang rawan tergelincir dan kedudukan tulang belakangnya bengkok serta jangkitan kuman di saraf tunjang.

“Saya terima maklumat penyakit yang ditanggung oleh isteri dengan sabar dan reda dengan ujian Allah SWT sambil berharap ada penawar termasuk pembedahan yang akan dilakukan oleh pihak hospital untuk mengurangkan penderitaannya,” katanya.

Kamaruddin yang berkongsi hidup dengan Norhaslinda mempunyai dua orang anak berusia 10 dan 15 tahun berkata, dia membawa pulang isterinya ke rumah bapa mentuanya, di Felda Tekam Utara selepas dirawat tujuh hari di Hoshas dengan menyewa ambulans.

Dalam pada itu, tambahnya, dia terpaksa menyewa ambulans semula dengan kos yang agak tinggai pada 9 November ini untuk membuat rawatan susulan ke Hoshas termasuk persediaan pembedahan masalah tulang rawan tergelincir malah kemungkinan berterusan selagi penyakit isterinya belum pulih.

Dia yang bertugas sebagai seorang pengawal keselamatan di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Tekam Utara cuma memperoleh gaji bersih bulanan sebanyak RM1,200 sahaja setelah ditolak caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan potongan lain.

“Mana mampu saya hendak menyara kebajikan isteri yang tidak dapat bekerja dan dua orang anak yang mula bersekolah pada minggu depan selain keperluan belanja barang keperluan dapur, bayaran bil yang mencecah RM2,000 sebulan dan sewa ambulans berulang alik ke hospital,” katanya.

Orang ramai dan dermawan yang ingin beramal jariah bolehlah menghulurkan bantuan peralatan dan kewangan dengan menghubungi Norhaslinda menerusi talian 01121986747 atau 0199707114 (Kamaruddin) dan boleh disumbangkan terus ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 0610529000013482 (Norhaslinda).v -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya