ISKANDAR PUTERI: Polis menahan empat lelaki yang disyaki terlibat dalam satu kejadian pecah rumah melibatkan seorang guru wanita yang kerugian kira-kira RM70,000 di Kangkar Pulai, Skudai, dekat sini, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, keempat-empat suspek itu ditangkap dalam serbuan berasingan, kelmarin selepas pihaknya melakukan risikan dan intipan sejak menerima laporan mangsa.
Menurut beliau, kesemua mereka yang ditahan adalah warga tempatan dan berusia antara 23 hingga 36 tahun.
“Pada 9 Oktober lalu, polis menerima aduan mangsa seorang guru wanita berusia 30-an memaklumkan kediamannya dipecah masuk sekumpulan lelaki ketika sedang tidur pada pukul 2.41 pagi.
“Suspek yang bersenjatakan parang mengikat kaki dan tangan mangsa menggunakan sarung bantal sebelum melarikan barangan berharga daripada kediaman berkenaan.
“Bertindak atas maklumat, polis menjejak empat suspek dalam dua serbuan masing-masing di Taman Mutiara Mas dan Taman Universiti,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, di sini hari ini.
Tambah Dzulkhairi, dua daripada suspek yang ditahan mempunyai rekod lampau dengan seorang daripada mereka memiliki 24 rekod melibatkan kes jenayah dan penyalahgunaan dadah.
“Manakala dua suspek lagi turut mempunyai rekod lampau iaitu masing-masing lapan dan satu rekod, dalam masa yang sama dua daripada mereka turut positif dadah jenis methamphetamine.
“Dalam serbuan berkenaan, polis turut merampas beberapa barangan termasuk sebuah kereta jenis Honda Accord yang digunakan dalam kes berkenaan, dua bilah parang serta beberapa peralatan kamera yang dicuri daripada kediaman mangsa,” ujarnya.
Menurut beliau, polis masih berusaha mengesan seorang lagi rakan suspek bagi membantu siasatan kes berkenaan.
“Dengan tertangkapnya empat suspek ini, kami percaya beberapa kes samun yang dilaporkan berlaku di daerah ini berjaya diselesaikan,” ujarnya.
Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE










