Guna jengkaut rempuh Ford Ranger, tiga lelaki ditahan

Guna jengkaut rempuh Ford Ranger, tiga lelaki ditahan

SEBUAH jengkaut melanggar kenderaan pacuan empat roda berikutan pertengkaran membabitkan sekumpulan individu dan dua beranak di kebun kelapa sawit di RTB Labu Kubong, Teluk Intan, baru-baru ini. - FOTO/MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Polis menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan rakaman video tular sebuah jengkaut merempuh kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger dinaiki dua beranak di kebun kelapa sawit dekat Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Labu Kubong di sini, Rabu lalu.

Tangkapan ke atas lelaki berusia 47 tahun dan dua lelaki berusia 28 tahun itu dijalankan oleh pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak pada pukul 4.05 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kejadian itu bermula selepas suspek tidak berpuas hati dengan mangsa berusia 24 tahun kerana mengorek jalan di tepi kebunnya untuk dijadikan parit sebagai laluan air.

Katanya, mangsa memberitahu suspek yang laluan itu dibuat kerana kawasan tersebut telah dinaiki air tambahan lagi, ia berada dalam kawasan kebunnya yang seluas 1.8 hektar.

“Semasa mangsa dan bapanya tiba di kebun mereka pada pukul 2.30 petang, Rabu lalu, mereka mendapati laluan yang digali pada sebelah pagi telah ditimbus oleh suspek dan beberapa individu lain.

“Mangsa dan bapanya telah menjelaskan kepada suspek tujuan laluan berkenaan digali namun lelaki itu tidak berpuas hati sehingga menyebabkan pertengkaran mulut sebelum dia bertindak menampar leher mangsa.

“Pada masa sama, jengkaut yang digunakan untuk menimbus laluan itu telah melanggar kereta Ford Ranger milik bapa mangsa sehingga kenderaan itu mengalami kerosakan sebelum pemandunya turun dan mengejar bapa mangsa menggunakan tukul besi,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut Ahmad Adnan, siasatan mendapati, laluan yang digali oleh mangsa adalah laluan utama bagi pekebun sawit di kawasan tersebut.

Katanya, mangsa telah mengorek lubang di tengah laluan untuk mengalirkan air agar air tidak bertakung di kawasan kebun miliknya.

Jelasnya, tanah mangsa berkeluasan lebih kurang 1.8 hektar di mana tanah itu adalah milik bapanya dan diusahakan oleh lelaki itu untuk penanaman anak pisang.

“Bagaimanapun, disebabkan parit di gali di tengah jalan, maka ia menyukarkan pekebun sawit yang lain kerana terpaksa menggunakan laluan jauh untuk pergi ke kebun mereka,” katanya.

Tambah beliau, bertindak atas laporan yang dibuat mangsa, ketiga-tiga suspek diberkas polis semalam dan reman akan dipohon di Mahkamah Masjistret Teluk Intan hari ini.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323/427/506 Kanun Keseksaan kerana mencederakan, khianat dan ugutan jenayah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya