KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 20 Julai ini untuk keputusan di akhir pembelaan kes berkait rasuah membabitkan balu kepada Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad.
Hakim Rosli Ahmad menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan pihak-pihak terlibat hari ini.
Mahkamah turut mengarahkan pihak-pihak memfailkan hujahan tambahan sebelum atau pada 9 Julai ini, sekiranya ada.
Pada prosiding hari ini, pendakwaan diwakili Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How dan Mohd. Fadhly Mohd. Zamry manakala Zizie Izette diwakili peguam-peguam bela K. Kumaraendran, M.Athimulan dan Ridha Abdah Subri.
Pembelaan menutup kesnya selepas Zizie Izette selesai memberi keterangan pada 5 Mac lalu.
Pada 3 Mei 2019, Zizie Izette didakwa bersubahat dengan Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad, dengan memperoleh suapan wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid, 38.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu sebagai upah bagi suaminya mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk Felcra Berhad membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad, di mana kesalahan itu dilakukan hasil daripada persubahatan tertuduh.
Bagi pertuduhan kedua, wanita itu didakwa bersubahat dengan Bung Moktar dengan memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM262,500 daripada individu sama, Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) yang didaftarkan atas nama tertuduh bagi tujuan serupa.
Zizie Izette juga dituduh bersubahat dengan Bung Moktar dengan memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Norhaili Ahmad Mokhtar, 42, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama tertuduh bagi tujuan yang sama. – UTUSAN
BERITA SELANJUTNYA MENYUSUL










