KOTA BHARU: Polis Kelantan berjaya menyelesaikan 13 kes pecah rumah melibatkan kerugian lebih RM400,000 selepas menahan tiga lelaki dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Perol di sini lebih seminggu lalu.
Penahanan kesemua suspek berusia 28 hingga 36 tahun pada 10 Mei itu dilakukan selepas dipercayai terlibat dalam satu kejadian pecah rumah melibatkan kerugian RM30,000 28 April lalu.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusoff Mamat, berkata, siasatan mendapati, ketiga-tiga suspek termasuk seorang yang merupakan Pemastautin Tetap (PR) menjadikan waktu siang semasa mangsa keluar bekerja sebagai sasaran.
Katanya, suspek akan melakukan pemantauan dan rondaan di kawasan rumah mangsa kira-kira pukul 8 pagi sebelum memecah masuk.
“Kebanyakan kes pecah rumah itu dilakukan pada waktu siang ketika mangsa keluar bekerja.
“Semakan mendapati, kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan 14 kes dadah dan 16 kes jenayah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, ketiga-tiga lelaki itu ditahan reman tujuh hari bermula 13 Mei lalu hingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Katanya, semasa ditahan ketiga-tiga lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine.-UTUSAN










