Gerakan selar rasis atlet sukan  - Utusan Malaysia

Gerakan selar rasis atlet sukan 

S. KISONA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Gerakan menyelar tindakan warganet yang menyentuh sensitiviti perkauman terhadap atlet sukan negara. 

Ketua Biro Perpaduan Nasional Gerakan, Puvaniten Helan Govan berkata, platform sukan adalah antara satu-satunya aktiviti yang selalu menyatupadukan seluruh rakyat  apabila atlet-atlet sukan negara berganding di arena pertandingan sukan antarabangsa. 

Katanya, semangat kekitaan amat jelas dalam kalangan rakyat Malaysia apatah lagi rakyat kini berada di bawah naungan Keluarga Malaysia, hari ini.

“Tindakan berbaur rasis terhadap atlet negara ini harus dikecam dan perlu dicabut dari peringkat akar umbi lagi agar menjadi pengajaran kepada netizen-netizen lain sebelum membuat sebarang tohmahan terhadap atlet negara yang berjuang untuk Malaysia di area antarabangsa. 

“Kita harus menghapuskan unsur perkauman dalam sukan dan terus menyokong semua inisiatif yang mendukung pembangunan bangsa yang progresif dan inklusif,” katanya dalam satu kenyataan semalam. 

Beliau berkata demikian selepas insiden tular di media sosial seorang pemilik akaun yang memuat naik status bergambar dengan kata-kata berunsur perkauman terhadap pemain badminton perseorangan wanita, S. Kisona. 

Ia susulan kekalahan Kisona di tangan pemain Jepun, Akane Yamaguchi 7-21, 5-21 dalam aksi separuh akhir Piala Sudirman di Finland.

Menurut Puvaniten, tindakan memohon maaf setiap kali selepas berlaku insiden isu perkauman tidak akan banyak membuat perubahan kerana ‘nasi sudah menjadi bubur’. 

Beliau berkata, ramai lagi yang akan menjadi ikutan terus memprovokasi dan meminta maaf selepas masalah tersebut menjadi besar. 

“Ini bukan cara terbaik untuk kita menyelesaikan masalah bagi pihak pihak yang cuba memecah belahkan perpaduan rakyat. 

“Kerajaan patut mengambil tindakan tegas terhadap individu seperti ini untuk dijadikan satu pengajaran dan memastikan mereka tidak mengulanginya perbuatan terkutuk ini,” katanya.

Tambah beliau, Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) sudah pun mengariskan 3R yang menyentuh isu Royalty, Race dan Religion di mana tindakan tegas harus diambil terhadap pihak yang memberikan komen berbaur kaum. 

Maka katanya, organisasi pekerjaan dan parti politik yang sedang disandang oleh individu berkenaan harus mengantungkan keahlian parti individu berkenaan.

“Sebelum ini kita sudah pun menyaksikan beberapa GLC dan syarikat juga mengambil tindakan terhadap para pekerjanya yang menghina agama dan bangsa lain di laman media sosial. 

“Tindakan seumpama itu harus dikenakan terhadap individu-individu yang menghina atlet-atlet sukan negara,” katanya.

Mengulas lanjut, Puvaniten berkata, sebelum kes Kisona, pada Julai lalu Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, Datuk Lee Chong Wei turut berhadapan dengan komen-komen negatif yang dilemparkan secara dalam talian terhadap pemain badminton negara. 

Katanya, sebagai pemenang pingat perak Olimpik badminton perseorangan lelaki turut kecewa dengan jumlah komen dalam talian yang memberikan komen negatif terhadap pemain badminton, selepas kekalahan dalam perlawanan mereka di Tokyo.

“Jadi kita harus membela nasib atlet-atlet sukan negara agar tidak terus dibuli akibat kegagalan di sesetengah permainan yang mungkin keputusan tidak dapat dijangka. 

“Berapa lagi atlet-atlet negara bakal berhadapan menjadi bahan kecaman media sosial sekiranya kita tidak mengawal situasi ini mulai sekarang,” katanya.

Puvaniten juga menegaskan semua pihak semuanya adalah Keluarga Malaysia dan peristiwa ini wajar menjadi pedoman kepada kita semua. 

“Hormati juga perjuangan bangsa lain dalam membantu membangunkan negara. Kalau kita hayati, saya yakin kehidupan kita akan lebih baik lagi,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya