MELAKA: “Terima kasih kepada kerajaan negeri dan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali atas pemberian rumah baharu untuk enam anak buah saya diami”.
Demikian kata bapa saudara kepada enam-beradik yatim piatu, Jimmy Labit yang sama sekali tidak menyangka menerima sebuah rumah tiga bilik secara percuma sumbangan Lembaga Perumahan Melaka (LPM) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).
Jimmy berkata, beliau mengucapkan terima kasih atas usaha semua pihak hingga membolehkan mereka mendiami rumah yang lebih selesa berbanding sebelum ini.
“Kami semua tidak pernah terfikir akan memiliki rumah sendiri. Ini semua rezeki buat anak buah saya, hidup mereka kini lebih terjamin sejak kehilangan ibu dan bapa.
“Dulu, mereka menyewa rumah tidak jauh dari sini. Rumah yang sangat usang dan sempit atas ihsan tuan rumah yang tidak meminta sebarang sewa,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Pemberian rumah berkenaan merupakan hasil pendedahan Utusan Malaysia yang melaporkan, kisah enam beradik tidak memiliki sijil kelahiran disebabkan status perkahwinan arwah ibu dan bapa diklasifikasikan sebagai perkahwinan tidak teratur oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Kelmarin, Sulaiman hadir menyaksikan penyerahan kunci rumah program tanggungjawab sosial (CSR) antara LPM diwakili Pengarahnya, Mohd. Salleh Hamidon dan Setiausaha MAIM, Muhammad Ikram Ibrahim.
Rumah di atas Lot 2072, Mukim Tangga Batu itu berkeluasan 630 kaki persegi mempunyai tiga bilik tidur, satu bilik air, ruang dapur dan ruang tamu.
Rumah tersebut diwakafkan LPM kepada MAIM untuk golongan asnaf.
Enam beradik itu terdiri daripada Nul Azizah, 14; Ahmad Bahrom, 13; Azrul, 12; Khalid, 11; Mohd. Said, 8, dan Siti Khatijah, 6.
Mereka kini dijaga oleh emak saudara, Haijah Haron, 48, yang juga orang kurang upaya (OKU).
Kedua ibu bapa iaitu Rosani Saman dan Milah Nasir telah meninggal dunia pada 2016 serta 2018. – UTUSAN ONLINE










