Dua lengkap diambil keterangan, tiga lagi diburu kes guna nama TMJ - Utusan Malaysia

Dua lengkap diambil keterangan, tiga lagi diburu kes guna nama TMJ

AYOB KHAN MYDIN PITCHAY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Polis telah mengambil keterangan dua individu dipercayai terbabit dengan kes pemalsuan dokumen tukaran wang asing yang didakwa menggunakan nama Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dua individu itu melibatkan seorang wanita tempatan didakwa mempunyai gelaran Datuk Seri dan seorang lelaki yang merupakan seorang peguam.

“Berhubung kejadian ini, kita sudah selesai ambil keterangan dua orang suspek semalam manakala kita sedang mengesan tiga lagi suspek yang turut dipercayai mempunyai kaitan dengan kes ini. 

“Keterangan mereka sudah diambil, jadi siasatan sekarang masih berjalan dan apabila cukup baru kita bawa ke Pejabat Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.

Jumaat lalu, Polis Johor memaklumkan pihaknya sedang mengesan tiga individu dipercayai terbabit kes penipuan dokumen tukaran mata wang menggunakan nama Tunku Ismail.

Siasatan tersebut dijalankan selepas pihaknya menerima laporan polis berkenaan satu dokumen letter of undertaking pertukaran mata wang dolar Amerika (AS$) kepada Ringgit Malaysia (RM) membabitkan nilai antara AS$200 bilion sehingga AS$5 trilion.

Tiga daripada suspek terbabit adalah seorang wanita bergelar Datuk Seri, seorang peguam dan seorang lelaki yang namanya digunakan sebagai pemilik akaun bank untuk sebarang transaksi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan maksimum 10 tahun dengan dikenakan sebat dan denda.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada kejadian itu melibatkan individu politik, Ayob Khan berkata perkara itu masih dalam siasatan.

Biar polis lakukan siasatan dahulu, saya juga mahu menasihati semua untuk tidak mudah percaya dengan sebarang dakwaan di media sosial. Ini kerana siasatan masih lagi berjalan,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN