TEHERAN: Pihak berkuasa Iran kini mengubah fokus dari gencatan senjata dengan Israel kepada memperketatkan tindakan keselamatan dalam negara dengan penangkapan besar-besaran, hukuman mati dan penempatan tentera terutamanya di kawasan Kurdish yang bergolak, menurut pegawai dan aktivis.
Beberapa hari selepas serangan udara Israel bermula pada 13 Jun, pasukan keselamatan Iran memulakan kempen penangkapan besar-besaran yang disertai dengan peningkatan kehadiran di jalanan melalui sekatan jalan raya.
Sesetengah pihak di Israel dan kumpulan pembangkang yang dibuang negara berharap kempen ketenteraan yang mensasarkan Pengawal Revolusi dan pasukan keselamatan dalam negara serta tapak nuklear itu dapat mencetuskan kebangkitan besar-besaran dan penumbangan Republik Islam.
Walaupun Reuters telah menemubual dengan ramai rakyat Iran yang marah dengan dasar kerajaan yang mereka percayai menyebabkan serangan Israel, tiada tanda-tanda menunjukkan protes besar-besaran terhadap pihak berkuasa setakat ini.
Namun, seorang pegawai keselamatan kanan Iran dan dua pegawai kanan lain yang diberikan taklimat mengenai isu keselamatan dalam negara berkata pihak berkuasa kini memberi tumpuan kepada ancaman kemungkinan pergolakan dalaman terutamanya di kawasan Kurdish.
Unit Pengawal Revolusi dan Basij yang merupakan unit paramiliter telah diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga dan keselamatan dalam negara kini menjadi fokus utama, kata pegawai keselamatan itu.
Beliau turut berkata bahawa pihak berkuasa bimbang tentang ejen Israel, pemisah etnik dan Pertubuhan Mujahideen Rakyat, sebuah kumpulan pembangkang yang dibuang negara dan sebelum ini telah melancarkan serangan di dalam Iran.
“Aktivis dalam negara kini berwaspada. Kami sangat berhati-hati sekarang kerana ada kebimbangan sebenar bahawa rejim mungkin menggunakan situasi ini sebagai alasan,” kata seorang aktivis hak asasi manusia di Tehran yang dipenjarakan semasa protes besar-besaran pada 2022.
Aktivis itu berkata dia mengenali puluhan orang yang telah dipanggil oleh pihak berkuasa dan sama ada ditangkap atau diberi amaran supaya tidak menyuarakan sebarang bentuk ketidakpuasan hati.
Kumpulan hak asasi manusia Iran, HRNA, pada Isnin berkata penangkapan 705 orang atas tuduhan politik atau keselamatan sejak permulaan perang tersebut turut direkodkan.
Ramai yang ditangkap didakwa sebagai perisik untuk Israel, menurut HRNA manakala media negara Iran melaporkan tiga orang telah dihukum mati pada Selasa. -REUTERS









