Pindaan Perlembagaan Persekutuan beri harapan baharu kepada MA63 - Utusan Malaysia

Pindaan Perlembagaan Persekutuan beri harapan baharu kepada MA63

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Pengumuman kepada Pindaan Perlembagaan Persekutuan Perkara 1 (2), Pindaan kepada tafsiran perkataan “Persekutuan” dalam Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan dan Pindaan tafsiran “anak negeri” di bawah perkara 161A pastinya  memberi harapan baharu dalam Perjanjian Malaysia  1963 (MA63).

Pengasas Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS) Wellie Henry Majang berkata, pihaknya berharap, semua Ahli Parlimen tanpa mengira perbezaan fahaman politik bersatu hati menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan Persekutuan tersebut demi kesejahteraan rakyat selepas 58 tahun pembentukan Malaysia.

Beliau yang juga penasihat DTTAS berkata, sudah tiba masanya Malaysia melangkah ke hadapan dan salah satu perkara yang harus diberi perhatian adalah untuk memperbetulkan semula MA63.

Beliau berkata, bagi mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai ‘rakan kongsi’ pembentukan Malaysia, ia wajar dimulakan melalui pembentangan Rang Undang- Undang Pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Wellie, Perkara 1, klausa (2) yang asal telah dipersetujui pada 9 Julai 1963 mesti dikembalikan, kerana didapati bahawa terdapat satu pengkelasan yang jelas mengenai wilayah-wilayah yang membentuk Persekutuan Malaysia, iaitu Negeri-negeri Tanah Melayu – Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, P. Pinang  Perak, Perlis, Selangor and Terengganu selain Negeri-negeri Borneo, iaitu Sabah dan Sarawak.

Katanya, pindaan berkenaan memenuhi hasrat dan tujuan, iaitu memberi pengiktirafan bahawa Sabah dan Sarawak bukan hanya negeri setara dengan mana-mana negeri di Semenanjung Malaysia, tetapi memulihkan statusnya sebagai rakan kongsi dalam pembentukan Malaysia.

“Perkara 160 juga wajar dipinda bagi memastikan kedudukan Sarawak sebagai rakan sekutu dapat dikembalikan dan menambah apabila kerajaan bercadang melakukan pindaan pada Perkara 1(2), ia hendaklah dibuat secara menyeluruh serta mempunyai asas kukuh.

“Oleh yang demikian, kita harus meminda Perkara 160 yang memuatkan definisi Persekutuan kerana masih dinyatakan ‘Persekutuan’ itu adalah ‘Persekutuan Tanah
Melayu’ 1957.

Pindaan Perlembagaan Persekutuan Akta 160 (2) tafsiran kepada perkataan “Persekutuan” Malaysia seperti mana yang dipersetujui pada 9 Julai 1963, iaitu Persekutuan Malaya, Borneo Utara, Sarawak dan Singapura,” kata Wellie yang juga penasihat DTTAS.

Menurut Wellie lagi, status asal ini penting dalam membentuk asas kukuh untuk mengeratkan hubungan ketiga-tiga wilayah.

Beliau berkata usul Pindaan Perlembagaan Persekutuan istilah ‘peribumi’ di bawah Perkara 161A akan memberi kuasa Kerajaan Negeri Sarawak untuk menentukan ‘Pribumi’ di negeri ini.

“Pindaan Perlembagaan istilah ‘pribumi’ di bawah Perkara 161A amat penting kerana definisi ketika ini adalah terhad dan tidak secara tepat menggambarkan perbezaan kumpulan-kumpulan anak negeri di Sarawak,” katanya.

Menurut Wellie, signifikannya (pindaan definisi pribumi) merupakan satu pengiktirafan kepada kaum-kaum yang ada di Sarawak kerana sehingga kini mereka dianggap sebagai (kategori) lain-lain.

Katanya, adalah sukar untuk mengkategorikan seseorang kepada istilah ‘orang lain’ atau ‘lain-lain’ di negara ini kerana biasanya terdapat kategori kaum dalam dokumen rasmi.

Malahan, katanya kewujudan penggunaan terma lain-lain ini, tidak ubah seperti sistem ‘pecah dan perintah’ yang diamalkan pada zaman penjajahan dahulu.

“Pemimpin terdahulu yang menandatangani Perjanjian Malaysia 1963 adalah dengan niat yang baik (good faith) dan percaya bahawa mereka menyumbang kepada pembangunan negara dengan melakukan persetujuan dalam semangat perkongsian kemakmuran bersama.

“Tidak dapat dinafikan, di sebalik semangat federalisme yang membentuk Malaysia, hak-hak dan kuasa-kuasa autonomi yang diperuntukkan khas kepada wilayah Sabah dan Sarawak hendaklah sentiasa dipelihara, malah ditambah baik selaras dengan perkara-perkara yang telah dipersetujui semasa pembentukan Malaysia satu ketika dahulu,” tambah beliau.

Beliau berkata, prinsip dan fundamental Persekutuan telah dimeterai untuk menyatupadukan kepelbagaian dalam kalangan ketiga-tiga entiti ini mengabungkan Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur. Kita juga menaruh harapan yang amat tinggi untuk melihat Malaysia yang adil, saksama dan bersatu padu. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya