Dos penggalak warga emas, anggota barisan hadapan mulai hari ini - Utusan Malaysia

Dos penggalak warga emas, anggota barisan hadapan mulai hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini memulakan proses dos penggalak (booster dose) kepada warga emas berusia 60 tahun dan ke atas serta anggota barisan hadapan yang menerima dos lengkap sekurang-kurangnya enam bulan lepas.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, individu yang layak dimaklumkan melalui aplikasi MySejahtera, manakala bagi individu yang tidak mempunyai aplikasi itu, pemakluman dibuat melalui pesanan ringkas atau panggilan telefon oleh pusat pemberian vaksin (PPV).

Kata beliau, pemberian dos penggalak dilakukan secara sukarela dan percuma di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi memastikan tempoh perlindungan optimum diperoleh penerima vaksin Covid-19 di negara ini.

“Dos penggalak adalah dos tambahan yang perlu diberikan kepada seseorang yang sebelumnya mendapat perlindungan mencukupi selepas vaksinasi lengkap, namun perlindungan tersebut menurun dari semasa ke semasa (waning immunity),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemberian dos penggalak itu diterajui klinik swasta (GPs) di bawah penyelarasan ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. bagi anggota barisan hadapan serta warga emas, manakala fasiliti kesihatan kerajaan dikhususkan kepada anggota kesihatan masing-masing.

“Anggota kesihatan swasta boleh mendapatkan dos penggalak dari fasiliti masing-masing bergantung kepada persetujuan pihak Jabatan Kesihatan negeri. Selain itu, fasiliti kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pula bagi anggota barisan hadapan ATM,” ujarnya.

KHAIRY JAMALUDDIN

Mengulas lanjut, Khairy berkata, pemberian dos penggalak melibatkan penerima dos lengkap vaksin Comirnaty keluaran syarikat Pfizer BioNTech dahulu iaitu individu tersebut akan menerima vaksin yang sama iaitu vaksin Comirnaty.

Katanya, ini memandangkan hanya vaksin Comirnaty mendapat kelulusan bersyarat oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada 8 Oktober lalu. KKM juga merancang untuk memulakan kajian pemberian dos penggalak bagi jenis vaksin berlainan.

“Kajian ini akan dilaksanakan di Sarawak pada bulan depan dan akan diperluas ke negeri lain selepas mendapat kelulusan Jawatankuasa Etika Penyelidikan Perubatan (MREC),” jelasnya.

Tambah beliau, pemberian dos tambahan pula selepas ini akan diberikan kepada individu yang mempunyai imuniti rendah seperti pesakit kanser, penerima organ, pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan dialisis dan sebagainya yang mana pemberian dos lengkap tidak cukup untuk memberikan perlindungan optimum kepada mereka.

“Dos tambahan ini diberikan sekurang-kurangnya 28 hari selepas penerimaan dos lengkap vaksin Covid-19. Pemilihan vaksin bergantung kepada kelulusan indikasi penggunaan oleh pakar perubatan merawat serta bekalan vaksin yang tersedia sama ada daripada jenis sama atau berlainan dengan dos terakhir.

“Pemberian dos tambahan ini diberikan di fasiliti kesihatan terpilih di bawah pemantauan pakar perubatan,” katanya.

Sementara itu, katanya, KKM mengulangi jaminan bahawa bekalan vaksin di Malaysia mencukupi bagi pelaksanaan pemberian dos tambahan dan dos penggalak.

Justeru, katanya, setiap individu yang layak digalakkan mengambilnya untuk perlindungan optimum daripada jangkitan Covid-19. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya