Digital ID dilaksana sepenuhnya 2024 - Utusan Malaysia

Digital ID dilaksana sepenuhnya 2024

ANTARA inisiatif transformasi perkhidmatan pendaftaran Negara JPN sempena  Hari Pendaftaran Negara Tahun 2021 dan sambutan JPN 73 Tahun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan dijangka mula melaksanakan inisiatif Identiti Digital Nasional (IDN) atau Digital ID sepenuhnya pada 2024.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, proses perancangan dan pelaksanaan inisiatif Digital ID oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sudah bermula tahun ini.

Beliau berkata, Digital ID menjadi suatu bentuk pengenalan dan pengesahan diri individu secara digital dengan menggunakan teknologi terkini biometrik seperti cap jari, pengecaman wajah dan iris bagi rakyat menjalankan urusan dalam talian.

“Pengesahan individu secara digital ini adalah penting bagi mengelakkan penipuan identiti dalam urusan secara dalam talian yang boleh merugikan negara.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan JPN dipertanggungjawabkan untuk menerajui pelaksanaan inisiatif ini kerana data, maklumat dan rekod penduduk berada di bawah jagaan dan bidang kuasa JPN,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Hari Pendaftaran Negara Tahun 2021 dan Sambutan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) 73 Tahun secara maya, hari ini.

Hamzah berkata, Digital ID adalah salah satu inisiatif dalam Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) dan ia selari dengan aspirasi kerajaan untuk memperkasa pendigitalan perkhidmatan kerajaan berteknologi dan berkapasiti tinggi.

Katanya, kerajaan juga akan memastikan sistem dan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sedia ada di JPN terus ditambah baik agar ia sentiasa terkini dan selamat.

Menurut beliau, Digital ID tidak menggantikan MyKad sedia ada sebagai dokumen pengenalan diri, sebaliknya ia memperkukuh keselamatan MyKad.

“Dengan adanya Digital ID ini, semakan dan pengesahan individu warganegara yang mempunyai MyKad dapat dilaksanakan dengan mudah dan tepat.

“Ia bukan hanya dapat membantu melancarkan semua proses terlibat, apa yang lebih penting ia mampu memberi keyakinan tinggi rakyat terhadap sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya