Dicop penyanyi ‘lalok’, Dinie tidak berkecil hati - Utusan Malaysia

Dicop penyanyi ‘lalok’, Dinie tidak berkecil hati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Penyanyi Dinie Rashid, 29, mengaku tidak berkecil hati apabila menyedari, terdapat segelintir pihak atau warganet yang melabelnya sebagai penyanyi ‘lalok’ selain pernah dikatakan menipu gara-gara kecacatan yang dialaminya pada bahagian mata.

Menurut bekas peserta program Big Stage 2020 ini, seringkali tanggapan negatif itu diterimanya kerana faktor luarannya yang kelihatan normal sedangkan dia merupakan seorang pemegang kad Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Sebelum ini saya pernah dicop menipu (buta). Orang tertanya-tanya, kenapa ya mamat ni boleh berjalan tapi kadang-kadang tersepak sana-sini? Jadi saya rasa terpanggil untuk hadir dengan satu penjelasan.

“Malah sebelum ini saya sertai program televisyen dan ada isi masa bermain futsal sebab ada juga aktiviti sukan itu yang disertai individu yang cacat penglihatan.

“Ada yang kritik ‘kata tak nampak tapi main futsal’, ada juga yang komen ‘mana boleh orang tak yang tak nampak pegang telefon bimbit’,” katanya.

Dinie berkata demikian semasa ditemui di majlis makan malam Indigital Music Night di sini, semalam.

Menurut penyanyi ini lagi, dia juga sentiasa perlu memberitahu pengikut dan orang ramai mengenai keberadaan dirinya demi tidak mahu dianggap sebagai penipu.

“Saya akui masih ramai yang belum kenal dengan saya. Jadi ini peranan sendirilah untuk beritahu hal sebenar. Jika tiba-tiba nama sudah dikenali dan andai kata ketika nak naik pentas saya tersadung misalnya, mana tahu, akan disalah anggap pula.

“Sebelum ini pun saya pernah dikatakan ‘lalok’. Tapi tak apalah, saya tak kecil hati. Saya pun tak nak ada yang anggap cuma minta simpati dengan apa yang dialami. Sebab itulah saya rasa bertanggungjawab untuk dedahkan mengenai hal ini supaya mereka di luar sana lebih faham,”katanya.

Berkongsi lanjut, Dinie memberitahu, kondisi ‘molecular dystrophy’ adalah satu gangguan yang mengakibatkan saraf pada bahagian matanya rosak sedangkan dia dilahirkan normal sejak kecil.

Pernah berhadapan dengan depresi pada peringkat awal, ia bagaimanapun sedikit demi sedikit diatasinya meski terpaksa menjalani kehidupan sebagai seorang OKU.

“Pada umur sembilan tahun nikmat penglihatan saya ditarik. Sejak itulah, macam-macam sudah saya lalui. Rasa tertekan dan sebagainya.

“Tapi saya reda dengan ketentuan dariNya dan sekarang Alhamdulillah, saya lebih relaks dan selalu ingin berfikiran positif,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.