MELAKA: Inisiatif Paramedik Komuniti (Parakom) akan diperluaskan ke masjid dan surau dalam masa terdekat bagi melatih sukarelawan ketika berdepan situasi kecemasan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Melaka, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, setiap masjid diminta menghantar tiga orang bagi mengikuti latihan yang dikendalikan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN).
Katanya, mereka akan dilatih menghadapi situasi kecemasan, selain didedahkan cara melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) dengan betul.
“JKN akan bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) supaya setiap masjid menghantar tiga orang untuk mendapatkan latihan. Kita akan mulakan dalam masa terdekat bagi institusi masjid dahulu sebelum surau.
“Solat Jumaat sebagai contoh dihadiri ramai jemaah terutama warga emas. Jika berlaku apa-apa kita telah sediakan (parakom) dulu,” katanya selepas Majlis Perasmian Simposium Integrated Paramedic Emergency Update Melaka (I-Premium) Ketujuh di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.
Hee Sem berkata, Parakom turut diperluaskan ke sektor perkilangan dengan menggalakkan majikan memasang alat defibrilator luaran automatik (AED) sebagai bantuan awal terhadap pekerja yang terkena serangan jantung.
“Melaka tidak ada undang-undang yang mewajibkan pemasangan alat ini tetapi kita menggalakkan. Kilang mempunyai ramai pekerja dan mereka adalah aset syarikat. Apabila ada pekerja yang sudah lama berkhidmat tiba-tiba pengsan maka AED ada untuk membantu. Jadi ini satu kelebihan kepada majikan,” katanya. – UTUSAN











