JOHOR BAHRU: Dianggarkan hampir 100,000 usahawan yang berdaftar di negeri ini akan menerima manfaat dana Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) berjumlah RM100 juta yang disediakan oleh kerajaan negeri melalui kerjasama dengan Bank Rakyat.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Mohd. Izhar Ahmad berkata, peminjam akan menerima pinjaman antara RM50,000 hingga RM500,000 dalam jangka masa lima hingga tujuh tahun bergantung kepada keupayaan pembayaran semula mereka.
“Kerajaan negeri dan Bank Rakyat akan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menyediakan dana RM100 juta untuk pinjaman oleh PKS. Bagi peminjam mikro, peruntukan RM40 juta, kadar faedah ditanggung kerajaan sepenuhnya.
“Maknanya, peminjam tak payah bayar apa-apa. Sementara itu, bagi pinjaman PKS, mereka hanya perlu membayar dua peratus sahaja yang lain kerajaan subsidi,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan bayaran tuntutan di bawah Skim Keilatan di bawah faedah penakat terhadap isteri kepada seorang lelaki yang meninggal dunia akibat Covid-19 di Flat Serantau Baru, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Johor, Tong Sing Chuang.
Mohd. Izhar berkata, semua usahawan diminta segera mendaftar bagi mendapatkan pinjaman itu yang akan diumumkan tidak lama lagi tidak kira sama ada usahawan yang hendak memulakan perniagaan ataupun merancang untuk mengembangkan perniagaan mereka.
“Kita akan minta semua Pegawai Daerah dan Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh Johor untuk menjadi ejen menerima borang permohonan usahawan terbabit. Kita akan permudahkan proses ini termasuk syarat-syarat pinjaman. Harap usaha dilakukan pihak kerajaan ini tidak disia-siakan usahawan di negeri ini,” katanya. – UTUSAN










