KUALA LUMPUR: Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya membongkar kegiatan pemprosesan sisa elektronik (e-waste) secara haram menerusi Operasi Hazard 3.0 dengan rampasan bernilai dianggarkan RM187 juta.
Operasi yang dijalankan serentak pada 6 April lalu melibatkan 28 premis di Selangor, Negeri Sembilan dan Johor.
Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, seramai 56 warga asing berjaya ditahan terdiri daripada 48 lelaki dan lapan wanita dari China, Myanmar dan Bangladesh.
Menurutnya, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan mengoperasikan kilang haram dengan menggaji pekerja tanpa permit sah, dengan bayaran gaji rendah antara RM1,000 hingga RM1,200 sebulan.
“Kilang-kilang ini dipercayai telah beroperasi antara dua hingga tiga tahun,” katanya dalam sidang akhbar di Markas Briged Tengah PGA, Cheras, hari ini.
Tambahnya, serbuan melibatkan 10 lokasi di Selangor serta masing-masing dua lokasi di Negeri Sembilan dan Johor dengan sebahagian kilang dikesan tiada lesen memproses e-waste.
“Kami percaya semua sisa e-waste ini dibawa masuk dari luar negara sebelum diproses di kilang-kilang terbabit.
“Setakat ini, pemilik premis dipercayai terdiri daripada warga tempatan dan juga warga asing namun tiada pemilik yang ditahan dalam operasi ini,” katanya.
Operasi bersepadu ini melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Gerakan Udara, Unit AMLA Bukit Aman, Jabatan Alam Sekitar, pihak berkuasa tempatan serta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Dalam pada itu, beliau berkata kes disiasat di bawah beberapa akta termasuk Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Imigresen 1959 dan 1963 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram.
Dalam perkembangan lain, Hakemal berkata,sebanyak 140 serbuan telah dijalankan oleh Briged Tengah sejak Januari hingga April tahun ini.
Jelasnya, hasil serbuan itu, sebanyak 394 tangkapan dilakukam dengan membabitkan rampasan bernilai RM216 juta.
“Polis menegaskan komitmen untuk terus membanteras jenayah ini dan menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan,” katanya.-UTUSAN










