KUALA NERUS: Polis menahan seorang peniaga dalam talian dipercayai pengedar dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Bukit Tok Beng di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, polis turut menyita aset milik lelaki berusia 46 tahun berkenaan yang dianggarkan bernilai RM381,900 termasuk wang tunai bernilai RM27,400 di samping empat barangan kemas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Superintenden Tium Ming Kung berkata, turut disita adalah enam kenderaan termasuk Toyota Vellfire dan kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi di samping empat motosikal termasuk Kawasaki Z800, Yamaha Y15ZR dan dua Yamaha RXZ.
“Hasil pemeriksaan menemukan dadah jenis heroin seberat 28 gram yang dipercayai untuk dijual di sekitar Kuala Terengganu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ming Kung, ujian saringan air kencing suspek adalah negatif dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Katanya, semua harta-harta yang diperoleh secara haram daripada sumber kegiatan dadah juga akan disiasat dan dilucuthakkan. – UTUSAN ONLINE