MACHANG: Jabatan Peguam Negara akan meneliti hukuman berhubung isu pempengaruh permotoran, Ija Nizaruddin yang mendakwa dilaporkan hilang namun ia adalah palsu, lebih seminggu lepas.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berkata, ini kerana kes tersebut adalah bidang kuasa mahkamah.
“Apa pun kita akan teliti berhubung kes ini. Saya ketika ini tidak boleh mengulas lanjut,” katanya pada sidang akhbar di Majlis Peluncuran Program Santuni Madani Jabatan Peguam Negara 2025 di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulai Chondong, di sini hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, ruangan komen ‘Facebook’ Ija Nizaruddin yang dilaporkan hilang Isnin lalu dibanjiri dengan komen kecewa, marah dan kesal oleh warga maya.
Rata-rata mereka meluahkan rasa kesal dengan laporan palsu kehilangan Ija Nizaruddin atau nama sebenarnya, Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38.
Terdahulu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM1,500 terhadap Tengku Nizaruddin dan Tengku Abdul Aziz selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu kepada penjawat awam. – UTUSAN







