Lelaki hilang, kereta ditemukan terbakar

Lelaki hilang, kereta ditemukan terbakar

ANGGOTA bomba memeriksa kenderaan jenis Perodua Kancil milik Mohd. Solehin Abd. Latif yang ditemukan terbakar selepas dipercayai terbabas di Jalan Batu Puteh-Labu Besar, Kulim. - UTUSAN/MOHD. SOLEHIN ABD. LATIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Kehilangan seorang lelaki menimbulkan persoalan kepada keluarganya selepas kereta dipandu mangsa dipercayai terbabas dan terbakar dalam kejadian di Jalan Batu Puteh-Labu Besar, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi itu, kereta Perodua Kancil digunakan mangsa, Mohd. Solehin Abd. Latif, 28, ditemukan terbakar di dalam longkang.

Bagaimanapun, mangsa tiada di dalam kenderaan tersebut dan pemeriksaan dilakukan keluarga di Hospital Kulim, Hospital Baling serta hospital berdekatan gagal menemuinya.

Menurut bapa mangsa, Abd. Latif Muhamad, 71, dia dimaklumkan oleh penduduk Machang Bubuk, Malau, bahawa anaknya mengalami kemalangan kereta di Labu Besar.

“Apabila mereka sampai di tempat kejadian, mereka melihat kereta Perodua Kancil itu adalah kepunyaan Solehin, namun mangsa tiada di tempat kejadian.

“Kami mencarinya di Hospital Kulim dan Baling, serta di beberapa hospital lain di Pulau Pinang sama ada dia menerima rawatan tetapi tiada rekod. Apa yang menghairankan, dompet serta kad pengenalan dan telefon bimbit ditemui berhampiran tempat kejadian,” jelasnya.

Katanya, sebelum kejadian Mohd. Solehin ada memaklumkan kepadanya untuk mencari kerja dengan abangnya di Teluk Kumbar, Pulau Pinang.

Tambahnya, Mohd. Solehin dipercayai keluar sendirian tanpa memberitahu sesiapa dan laporan polis telah dibuat di Balai Polis Sungai Kob kira-kira pukul 9.30 pagi.

Kakak mangsa, Nurul Shahida, 37, berkata, Mohd. Solehin kali terakhir dilihat memakai baju-T biru jalur kuning dan seluar berwarna coklat gelap.

Katanya, dia ada memuat naik gambar adiknya di media sosial untuk memudahkan orang ramai memberi maklumat dengan menghubungi mereka di talian 0197979285 kakak, 0194985621 dan 0124035818 (abang). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN