Culik ahli perniagaan: Bekas peniaga kekal dipenjara seumur hidup

Culik ahli perniagaan: Bekas peniaga kekal dipenjara seumur hidup, 10 sebatan 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seorang bekas peniaga kekal menjalani hukuman penjara seumur hidup dan dikenakan 10 sebatan atas kesalahan menculik seorang ahli perniagaan bagi mendapatkan wang tebusan RM500,000, 10 tahun lalu.

Hukuman penjara seumur hidup bermakna Kamaruzaman Mohamed Shah, 44, diperintah menjalani hukuman penjara selama 30 tahun seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 3 Akta Keadilan Jenayah 1953.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai oleh Datuk Vernon Ong Lam Kiat ketika menolak rayuan akhirnya berpuas hati, wujud keterangan mencukupi bagi mengaitkan penglibatan perayu dalam kejadian penculikan.

Beliau yang bersidang bersama Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Zabariah Mohd. Yusof berpendapat, sabitan terhadap Kamaruzaman adalah selamat.

Panel tersebut sebulat suara mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Melaka pada 27 Oktober 2017 dan Mahkamah Rayuan yang mengesahkannya 23 April 2019.

Kamaruzaman bersama dua orang lagi yang masih bebas didakwa secara bersama menculik ahli perniagaan Tan Tiang See, 46, (ketika kejadian) dan mengurung lelaki berkenaan supaya wang tebusan sebanyak RM500,000 dibayar oleh abang mangsa.

Bekas peniaga itu disabitkan menculik mangsa di sebuah gudang di Jalan TTC 25, Taman Perindustrian Cheng dan mengurung lelaki berkenaan di sebuah rumah di Jalan Cengal 1, Taman Merdeka, Batu Berendam pukul 6 petang, 14 Februari 2011.

Dia didakwa mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961 (Akta 365) dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan dikenakan sebat.

Peguam K.A. Ramu mewakili Kamaruzaman manakala Timbalan Pendakwa Raya Hanim Mohd. Rashid mewakili pihak pendakwaan.

Pada prosiding tersebut, Kamaruzaman memohon dipindahkan dari Penjara Kajang dekat sini ke Penjara Kluang, Johor kerana berdekatan dengan ibu bapa yang telah tua yang kini menetap di Simpang Renggam.

Menurut perayu, dia telah mengemukakan permohonan itu kira-kira lapan kali namun ditolak oleh pihak penjara atas alasan kemahirannya diperlukan untuk melatih banduan-banduan di sana.

“Saya tertekan, saya tak menang kes pun tak apa asalkan dapat berjumpa keluarga,”’ ujarnya ketika berdiri dalam kandang perayu.

Bagaimanapun, Hakim Vernon menjelaskan mahkamah tiada bidang kuasa untuk mengesyorkan perpindahan banduan ke mana-mana penjara dan mencadangkan peguamnya mengemukakan permohonan rasmi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya