PETALING JAYA: Tindakan dua lelaki warga asing memberi rasuah berjumlah RM5,000 kepada seorang pegawai sebuah agensi penguat kuasa sebagai balasan untuk membebaskan tujuh rakan mereka yang ditahan mengundang padah apabila dia direman semalam.
Permohonan reman tersebut dibenarkan oleh Majistret Mohamad Farid Abdul Latif setelah permohonan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.
Reman tersebut berkuat kuasa sehingga 29 Oktober ini.
Menurut sumber, kedua-dua lelaki berusia lingkungan 30-an itu masing-masing bekerja sebagai buruh kasar dan pekerja kedai perabot ditahan SPRM kelmarin di sebuah restoran di Pudu Ulu kira-kira pukul 6.30 petang.
“Difahamkan, rakan-rakan mereka tersebut telah ditahan oleh agensi penguat kuasa tersebut kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Razaliah Ab Rahman ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan menjelaskan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.










