Ciapan KJ cetus perbincangan hangat warganet - Utusan Malaysia

Ciapan KJ cetus perbincangan hangat warganet

CIAPAN Twitter Khairy yang merujuk kenyataan Anwar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ciapan Twitter Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin terhadap kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu ‘susahkan vaksin’ mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan warganet hari ini.

Malah sesetengah warganet di Twitter misalnya, menyokong kenyataan Khairy dan mahu Ahli Parlimen Rembau itu untuk bertindak tegas terhadap golongan yang berdegil mengambil vaksin Covid-19.

“Terbaik KJ, saya sokong anda,” ciap pengguna Twitter @WaisibBin.

“Tahniah YB, tegas dan keluarkan akta, selesai masalah,” cadang pengguna Twitter @MieJagad.

Namun, terdapat juga warganet yang memberikan maklum balas negatif terhadap ciapan Khairy dan menyifatkan beliau tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan sedemikian.

“Dulu lain, sekarang,” ciap pemilik Twitter @antarapura yang merujuk kenyataan Khairy sebelum ini bahawa tidak paksaan mengambil vaksin.

“YB jangan berlagak. Sekarang penting bagi kerajaan untuk mengambil kira hak asasi manusia bagi mereka tidak percaya vaksin,” ujar pemilik Twitter @PatSalamT.

Terdahulu, Khairy menegaskan kerajaan telah sehabis usaha memberi penerangan berhubung kebaikan dan keberkesanan vaksin Covid-19 sejak awal lagi. 

Malah, kata beliau, pihaknya telah mengemukakan segala bukti dan saintifik berhubung pelalian tersebut dan usaha itu tidak pernah terhenti.

“Nak kata kerajaan tidak cukup bagi penerangan tentang vaksin tidak betul. Kita dah kemukakan segala bukti saintifik tentang keberkesanan vaksin Covid-19 dari awal lagi. Kita terus memberi penerangan. 

“Saya minta maaf, saya kena tegas dalam isu ini. Panggilah saya dajal atau sebagainya,” kata Khairy menerusi ciapan Twitter beliau hari ini.

Khairy merujuk kenyataan Anwar yang menyifatkan kenyataan beliau yang akan ‘menyusahkan’ kehidupan harian golongan antivaksin jika mereka terus menolak penerimaannya sebagai satu langkah sombong. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN