KUALA SELANGOR: Selangor terus berteka-teki untuk menentukan sosok daripada UMNO atau Muafakat Nasional (MN) bakal dipilih sebagai Menteri Besar untuk ditonjolkan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU-15) jika diadakan pada tahun hadapan.
Ini kerana Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar mengingatkan usaha yang perlu dilakukan semua pihak adalah memerangi wabak Covid-19 dan usaha membangunkan semula ekonomi negara.
“Saya ingat masalah itu bukan sekarang, kita kena tunggu sampai masanya nanti. Bagi saya Selangor, dalam mesyuarat (Perhubungan UMNO Negeri) kita hanya fikirkan bagaimana hendak pulihkan keadaan ekonomi. Itu paling penting.
“Masalah politik ini patutnya diletakkan pada landasan kedua,” jawabnya ringkas dalam sidang akhbar selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kuala Selangor, di sini hari ini
Tambah Ahli Parlimen Tanjong Karang itu, beliau tidak melihat ada keperluan untuk membawa usul mengenai calon Menteri Besar dalam persidangan UMNO peringkat akar umbi di Selangor.
“Dalam mesyuarat peringkat Perhubungan UMNO Negeri pun kita tidak membincangkan soal itu sebaliknya memikirkan cara untuk tangani wabak dan membangunkan ekonomi,” ujarnya. – UTUSAN