MELAKA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) percaya bahawa, bukan semua pemimpin UMNO mahu kerjasama antara kedua parti dihentikan, khususnya dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau yakin keputusan memutuskan kerjasama merupakan pandangan peribadi pemimpin tertentu dalam UMNO dan bukan suara majoriti wadah yang diwakili.
“Dalam hidup ini kadang-kadang ada orang hendak berkawan dengan kita, kadang-kadang orang itu tidak berapa hendak berkawan dengan kita, mungkin kerana cemburu sebab kehebatan kita, kelebihan yang ada pada kita tetapi Bersatu tidak memandang kepada semua itu.
“Jadi, kalau ada yang kata tidak mahu bersama dengan kita, saya percaya mungkin itu pandangan peribadi bukan pandangan majoriti wadah yang mereka wakili,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Hari Sukan Negara peringkat daerah Alor Gajah di A’ Famosa Resort di sini hari ini.
Hadir sama Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ts. Kamel Mohamad.
Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, tiada keputusan kerjasama antara UMNO dan Bersatu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Beliau menjelaskan, selagi tiada perbincangan rasmi antara Badan Perhubungan UMNO negeri dengan Biro Politik, maka belum ada keputusan terhadap kerjasama tersebut.
Mengulas lanjut, Ahmad Faizal turut memberitahu, Bersatu sentiasa membuka pintu rundingan kerana percaya rakyat pada ketika ini mengharapkan situasi politik negara lebih stabil dalam menghadapi cabaran pandemik Covid-19.
“Ramai orang di luar sana terutama sekali orang Melayu amat berharap, mendoakan agar orang politik ini tidak lagi bergaduh, tidak lagi bercakaran sesama sendiri tetapi untuk pertama kalinya mementingkan rakyat lebih daripada kepentingan diri, kumpulan atau parti yang mereka wakili.
“Bersatu sentiasa membuka pintu rundingan dengan sesiapa juga. Kami mengamalkan politik yang mesra rakyat dan politik kasih sayang. Kita tak nak bergaduh dengan orang,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE