PARLIMEN: Kes Teoh Beng Hock boleh disiasat semula jika ada bukti baharu

PARLIMEN: Kes Teoh Beng Hock boleh disiasat semula jika ada bukti baharu

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk membuka semula siasatan kes kematian Teoh Beng Hock sekiranya terdapat sebarang perkembangan baharu, meskipun kes itu telah diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kes jenayah tidak tertakluk kepada sebarang had tempoh masa berbanding kes sivil.

“Oleh itu, sekiranya terdapat perkembangan baharu pada masa akan datang, siasatan dan semakan lanjut terhadap kes ini masih boleh dijalankan,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan dalam laman web rasmi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang meminta penjelasan berhubung keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) mengklasifikasikan semula kes itu sebagai NFA walaupun Mahkamah Rayuan sebelum ini memutuskan kematian Beng Hock berpunca daripada perbuatan menyalahi undang-undang.

Menurut Azalina, keputusan AGC pada Mei lalu dibuat selepas meneliti hasil siasatan pasukan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang ditubuhkan susulan keputusan Mahkamah Rayuan pada 2014.

Mahkamah ketika itu mengetepikan keputusan terbuka (open verdict) oleh koroner dan memutuskan kematian Teoh adalah akibat perbuatan menyalahi undang-undang oleh individu atau beberapa individu yang tidak dikenali.

“Namun, selepas meneliti keseluruhan keterangan, AGC mendapati tiada bukti yang mencukupi untuk mensabitkan mana-mana pihak. Oleh itu, arahan NFA dikeluarkan,” jelasnya lagi.

Teoh, yang ketika itu merupakan Setiausaha Politik kepada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ditemukan meninggal dunia pada 16 Julai 2009 di tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terletak di tingkat 14 bangunan sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×