PETALING JAYA: Amalan demokrasi di negara ini memberi ruang kepada rakyat untuk berhimpun secara aman menyuarakan pandangan, namun tekanan politik melalui jalanan bukanlah mekanisme sah bagi menukar kepemimpinan negara.
Sebaliknya, sebarang usaha untuk menurunkan Perdana Menteri perlu dilakukan menerusi proses demokrasi sebenar iaitu melalui usul undi tidak percaya di Parlimen atau ketika berlangsungnya pilihan raya umum.
Penganalisis politik, Dr. Mazlan Ali berkata, tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak menghalang penganjuran Himpunan Turun Anwar mencerminkan sikap beliau yang menghormati prinsip demokrasi.
Katanya, hak berhimpun merupakan sebahagian daripada sistem demokrasi, namun ia perlu dilaksanakan secara aman tanpa mencetuskan provokasi atau menjejaskan ketenteraman awam.
Justeru itu, katanya, rakyat perlu memahami bahawa perubahan kepemimpinan tidak boleh dilakukan melalui desakan jalanan kerana ia bertentangan dengan amalan demokrasi berparlimen.
“Saluran yang betul untuk menukar Perdana Menteri adalah melalui Parlimen dengan membawa usul undi tidak percaya atau melalui mandat rakyat dalam pilihan raya umum.
“Jika Perdana Menteri hilang sokongan majoriti di Dewan Rakyat, maka beliau perlu berundur dan ia boleh dimuktamadkan melalui usul undi tidak percaya.
“Pembangkang perlu meyakinkan rakyat melalui kempen politik dan pilihan raya, bukan mengajak rakyat berhimpun di jalanan bagi mencipta tekanan yang boleh mencetuskan ketidakstabilan politik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, Anwar dilaporkan berkata, beliau tidak menghalang penganjuran Himpunan Turun Anwar diadakan oleh pemimpin pembangkang kerana menghormati prinsip demokrasi diamalkan di negara ini.
Sementara itu, penganalisis politik, Dr. Azmi Hassan berkata, pendekatan demonstrasi jalanan tidak relevan dalam konteks politik Malaysia kerana sistem demokrasi berperlembagaan negara ini menyediakan saluran yang sah bagi mengesahkan sokongan terhadap Perdana Menteri.
Katanya, Perdana Menteri sendiri telah menyatakan kesediaan berdepan usul undi tidak percaya jika ada pihak yang meragui kepemimpinannya selaras dengan prinsip demokrasi.
“Jika benar ada keraguan terhadap kepemimpinan Anwar, maka usul tersebut sepatutnya dibawa ke Parlimen, bukan mencipta persepsi menerusi himpunan jalanan.
“Ini berbeza dengan situasi di negara seperti Belarus atau sewaktu pendakwaan terhadap Presiden Donald Trump di Amerika Syarikat (AS). Di Malaysia, selagi tidak ada sokongan majoriti di Parlimen, usaha untuk menukar Perdana Menteri melalui jalanan hanya sekadar mencipta persepsi, bukan realiti politik,” katanya. – UTUSAN










