BN tidak bekerjasama dengan Bersatu pada PRN Melaka - Utusan Malaysia

BN tidak bekerjasama dengan Bersatu pada PRN Melaka

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) membuat keputusan untuk tidak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau menghormati ketetapan Perhimpunan Agung UMNO sebelum ini.

“Ada yang mahu mengelakkan pertandingan tiga penjuru. Ada yang jangka kita akan berprestasi lebih buruk dari Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Namun jika ada pihak yang pernah menikam kita dari belakang dan pernah dipatuk sewaktu di Sabah, kita berazam tidak akan dipatuk di tempat yang sama.

“Kita tidak akan dimanipulasi dan ditunggangi semula. Kita takkan bekerjasama dengan Bersatu dalam PRN Melaka,” katanya ketika melancarkan jentera BN hari ini.

Bagaimanapun beliau menegaskan, keputusan itu dibuat bukan sebagai Presiden UMNO.

“Ini suara akar umbi, saya sebagai Pengerusi BN harus akur. Namun, kita tidak perlu mengutuk seteru lawan, kita hanya cerita baik tentang kita, tentang apa yang boleh diberikan kepada pengundi.

“Kita tidak perlu khuatir dengan mereka, mereka bukan musuh kita, kita hanya seteru politik,” katanya.

Beliau turut memberi bayangan akan mencalonkan Datuk Seri Sulaiman Md. Ali sebagai Ketua Menteri jika memenangi PRN Melaka.

“Ramai yang suka dengan kepimpinan Sulaiman. Saya melihat beliau mempunyai pendekatan yang hampir dengan Tun Ali Rustam, rakyat Melaka sayangkan Sulaiman, bukan orang Melayu sahaja tetapi orang Cina dan India,” katanya.

Malah, beliau memberi jaminan akan mewujudkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilantik sama seperti di Sabah jika menang PRN Melaka.

“Dengan kesepakatan parti-parti komponen, dengan persetujuan kepimpinan BN Melaka dan Pusat, kalau memperoleh lebih dua pertiga, kita akan pinda perlembagaan dengan menyarankan lima ADUN melantik rakan kita,” katanya.

Pada masa sama, beliau memberi jaminan akan memberi peluang kepada MCA dan MIC untuk bertanding pada PRN Melaka.

“Oleh kerana kini tinggal empat parti dalam BN, selain dari UMNO, ada tempat untuk MCA, ada tempat untuk calon MIC dan PBRS pula walaupun tak letak calon akan memastikan rakyat Sabah di Melaka mengundi BN,” katanya.

Namun, Ahmad Zahid mengesahkan bahawa BN akan meletakkan muka-muka baharu pada PRN Melaka.

“Kita mengadakan rundingan dengan Perdana Menteri, bahawa PRN Melaka kali ini kita akan mencalonkan muka baharu yang terbaik.

“Ini tidak bererti yang lama tidak baik, tapi walaupun saya tak dapat baca hati mereka, tapi saya harap mereka beri peluang kepada anak muda untuk diketengahkan.

“Saya yakin MCA akan melakukan perkara sama, MIC juga tidak ketinggalan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menafikan ada favoritisme dalam memilih calon kali ini.

“Tidak ada calon pilihan Rauf Yusoh, tidak ada calon pilih Sulaiman, tidak ada calon Mohamad Hasan dan tidak ada calon pilihan Zahid Hamidi.

“Siapa yang jadi calon wajib kita menangkan. Bukan semestinya orang lain tidak baik, tetapi kita mesti hidangkan sesuatu yang baru kepada pengundi.

“Yang mana lama, ada sifat wali, ada juga tempat untuk ahli-ahli yang berhormat. Tidak ada baru tidak ada yang lama. Yang baru mesti menghormati yang lama, yang lama mesti menyayangi yang baru.

“Saya yakin gelombang baru akan bermula di negeri Melaka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya