Bertembung di Persekutuan, Bersatu Sabah tentu haluan sendiri - Utusan Malaysia

Bertembung di Persekutuan, Bersatu Sabah tentu haluan sendiri

MUHYIDDIN Yassin (tengah) bersama Hajiji Noor (kiri) dan Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (kanan) semasa mesyuarat Badan Pimpinan Bersatu Sabah di Kota Kinabalu, Sabah, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Pertembungan antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan UMNO di peringkat Persekutuan mungkin tidak berlaku di Sabah susulan kerjasama sedia ada dalam kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi kepercayaan sepenuhnya kepada pimpinan GRS untuk menentukan haluan sendiri bagi berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Beliau berkata, di peringkat negeri, Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan rakan pimpinan GRS akan berbincang bagi menetapkan satu pendirian dan haluan yang jelas untuk menghadapi pilihan raya.

“Kami sudah berbincang dan Hajiji turut mendengar apa yang kita bincangkan. Kita percaya GRS sudah mewujudkan tanggapan yang baik sepanjang setahun GRS ditubuhkan dan pelbagai inisiatif dilaksanakan.

“Ini yang kita bincang supaya lebih jelas apakah Sabah akan berbeza dengan Semenanjung, saya pun tidak tahu,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Pimpinan Bersatu Sabah hari ini.

Justeru, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, sama ada wujud kerjasama mahupun tidak, ia bergantung kepada hasil perbincangan yang diputuskan bersama rakan pimpinan GRS.

Muhyiddin turut memberi mandat kepada Hajiji selaku Pengerusi GRS untuk berbincang bersama rakan-rakan dalam GRS bagi menentukan pembahagian kerusi di Sabah.

“Saya mengiktiraf di Sabah unik serta ada sedikit kelainan dengan Semenanjung Malaysia. Fakta itu kita ambil kira supaya ada keputusan yang baik untuk semua,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Bersatu bersedia bertembung dengan UMNO sekiranya UMNO kekal tidak mahu meneruskan kerjasama pada PRU-15.

“Kita dalam Bersatu sudah ada pendirian, kalau UMNO tidak mengubah keputusan itu maknanya, itulah keputusan yang mereka ambil. Maka, kalau kita terpaksa bertembung dan tiada cara untuk mengelakkannya jadi, kita akan menghadapinya.

“Itu realiti politik dan kita ada strategi dan cara kita. Saya fikir kita punya banyak pengalaman. Kita juga membuat pelbagai kajian dan penyelidikan mengenai respon rakyat kerana apa yang penting adalah kemahuan rakyat.

“Rakyat akan melihat bantuan yang diperlukan semasa pandemik Covid-19 dan mungkin mereka menilai langkah-langkah saya buat dahulu termasuk bantuan pakej rangsangan yang bernilai lebih RM530 bilion serta usaha yang diambil bagi menangani Covid-19,” katanya.

Tambah beliau, kedudukan Bersatu di Sabah terus diperkukuh kerana negeri ini antara yang terkuat dengan keahlian mencecah 108,000 orang dan masih ramai yang belum didaftarkan. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya